am@hmetro.com.my
Langkawi: Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman, 52, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini, awal pagi tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.21 pagi dan difahamkan kematiannya berpunca daripada kegagalan fungsi organ.
Berita pemergian pegawai kanan polis itu dimaklumkan menerusi media sosial rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, pagi ini.
“Dimaklumkan Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmuddin Sulaiman menghembuskan nafas yang terakhir jam 3.21 pagi di Wad Isolusi HSM. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook sama malam tadi, IPD Langkawi memaklumkan Allahyarham ditidurkan ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Hantaran itu turut mengajak orang ramai mendoakan kesembuhan Allahyarham yang
ketika itu dilaporkan sedang menerima rawatan.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Mahani Md Sidek, dan empat anak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




