Selepas himpun 70,000 peminat, Ella akhiri Majlis Tertinggi Rockqueen 5 Disember ini

Selepas himpun 70,000 peminat, Ella akhiri Majlis Tertinggi Rockqueen 5 Disember ini

Selepas berjaya menghimpunkan lebih 70,000 peminat menerusi tiga persembahan di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang, Ratu Rock Malaysia, Ella bakal menutup tirai perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen 2026 menerusi konsert khas pada 5 Disember ini.

Konsert berjudul Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup itu bakal berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, dengan penampilan istimewa dua penyanyi terkenal tanah air, Yuna Zarai dan Datuk Ziana Zain.

Pengumuman itu merealisasikan hasrat Ella untuk mengadakan satu lagi persembahan sebelum berakhirnya tahun ini, selepas memberikan bayangan mengenai konsert berkenaan ketika menerima Anugerah Sri Wirama AIM25 minggu lalu.

Dianjurkan Hitman Solutions bersama Rockqueen, konsert berkenaan menjadi kemuncak kepada siri persembahan Majlis Tertinggi Rockqueen yang bermula dengan kehadiran 55,000 penonton di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, diikuti lebih 5,000 peminat di Singapura dan 10,000 penonton di Pulau Pinang.

Foto: Bernama

Ella berkata, perjalanan sepanjang tahun ini cukup bermakna buat dirinya, terutama apabila masih berpeluang bertemu peminat daripada pelbagai generasi selepas lebih empat dekad dalam industri muzik.

“Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya dan setiap cerita ada bab terakhirnya. Jadi, Ella mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa untuk kita semua.
“Ella mahu kita menutup perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen tahun ini dengan penuh kegembiraan, kasih sayang dan kenangan yang akan kita simpan sampai bila-bila,” katanya.

Kehadiran Yuna dan Ziana dijangka menambahkan keistimewaan konsert berkenaan menerusi gabungan penyanyi daripada latar muzik dan generasi berbeza.

Yuna yang dikenali menerusi muzik kontemporari serta kejayaan di peringkat antarabangsa bakal berkongsi pentas dengan Ella, manakala Ziana kembali sebagai artis undangan selepas membuat penampilan pada Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi Permata Biru di Pulau Pinang.

Foto: Bernama

Menariknya, konsert penutup itu turut memperkenalkan konsep Audience Choice yang membolehkan peminat memberikan pilihan terhadap tema persembahan, senarai lagu dan beberapa elemen kejutan pada malam berkenaan.

Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata, kejayaan siri konsert itu bukan sekadar diukur berdasarkan jumlah penonton, malah turut membawa mesej Peace.Love.Rindu menerusi sumbangan kepada organisasi kebajikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal menyifatkan penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25 oleh Ella sebagai pengiktirafan sewajarnya terhadap sumbangan dan legasi penyanyi itu dalam industri muzik Malaysia.

Tiket Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup mula dijual pada 22 Oktober 2026, dengan harga bermula RM179 menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com.

Scroll to Top