Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun berebut slot separuh akhir

Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun berebut slot separuh akhir

PETALING JAYA: Slot separuh akhir berada dalam genggaman beregu lelaki Malaysia, selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun bertembung sesama sendiri pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Tremblay-en-France, Perancis, esok.

Aaron-Wooi Yik yang merupakan pasangan No. 4 dunia tidak perlu memerah keringat bagi melepasi halangan peringkat 16 terbaik, selepas mereka diberi diberi kemenangan percuma ekoran penarikan diri wakil Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul.

Keputusan tersebut menyaksikan beregu lelaki No. 1 negara itu bakal menghitung pertemuan dengan rakan seperjuangan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menewaskan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 25-23, 21-14 dalam masa 41 minit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Satu lagi pasangan Malaysia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut menempah slot ke suku akhir selepas menyingkirkan beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-6, 14-21, 21-18 dalam masa 50 minit.

Menanti beregu profesional itu di peringkat lapan terbaik ialah pasangan No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan yang mengalahkan wakil negara, Aaron Tai-Yap Roy King 21-14, 21-16 dalam masa 33 minit.

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah mengetepikan rakan senegara, Ong Xin Yee-Carmen Ting 21-14, 22-20 dalam masa 46 minit.

Pada suku akhir, pemenang Terbuka Denmark itu akan turun ke gelanggang menentang pasangan adik beradik, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva dari Bulgaria.

Turut mara ke peringkat seterusnya, beregu campuran Malaysia, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing yang bertarung sengit sebelum melakar kemenangan ke atas Liu Kuang Heng-Hsu Yin Hui dari Taiwan 21-13, 13-21, 21-17 dalam masa 51 minit.

Beregu yang kini menghuni ranking ke-31 dunia tersebut bakal berdepan gandingan No. 27 dunia, Marvin Seidel-Thuc Phuong Nguyen dari Jerman.

Pang Ron-Pei Jing perlu berhati-hati dengan Seidel-Nguyen yang mencipta kejutan ke atas beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China 21-17, 14-21, 22-20 dalam masa 53 minit. – UTUSAN

Scroll to Top