Barcelona: Barcelona berpeluang melebarkan jurang kepada sembilan mata di puncak La Liga apabila melayan kunjungan seteru tradisi, Real Madrid, dalam aksi El Clasico di Camp Nou, awal pagi Isnin ini.
Bagaimanapun, persiapan juara bertahan itu sedikit terganggu selepas tewas buat kali pertama musim ini apabila tunduk kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), Rabu lalu.
Sebaliknya, Real hadir dengan momentum lebih baik selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut, termasuk membelasah RB Leipzig, semalam.
Skuad kendalian Hansi Flick kini mendahului Real yang berada di tangga ketiga dengan kelebihan enam mata.
Kembalinya Raphinha daripada kecederaan serta prestasi cemerlang pemain sayap muda, Lamine Yamal, turut meningkatkan keyakinan Barcelona.
Real pula terpaksa beraksi tanpa Vinicius Junior yang digantung perlawanan.
Akhbar Sepanyol, AS, melaporkan ketiadaan pemain Brazil itu dilihat lebih sebagai penyelesaian berbanding masalah buat kelab berkenaan.
Mourinho berkemungkinan mempertaruhkan pemain remaja Yan Diomande, yang dibeli pada harga £140 juta (RM640 juta), bagi mengisi ruang dalam jentera serangan, atau memperkuatkan bahagian tengah untuk menyekat permainan Barcelona.
Namun, Barcelona turut berdepan masalah kecederaan apabila Eric Garcia dan Andreas Christensen diketepikan, manakala Jules Kounde masih diragui.
Pemain tengah, Dani Olmo, juga belum pulih.
Lebih membimbangkan, Barcelona dibolosi empat gol ketika menentang PSG, sekali gus memperlihatkan kelemahan pertahanan mereka masih belum dapat diatasi sepenuhnya sejak era Flick, khususnya akibat penggunaan garisan pertahanan tinggi.
“Kami melakukan terlalu banyak kesilapan, terutama ketika menguasai bola dan kehilangan bola dengan mudah. Perkara ini perlu kami analisis,” kata Flick.
Bagaimanapun, ketajaman serangan Barcelona kekal menjadi senjata utama apabila mereka menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol dalam setiap perlawanan musim ini.
“Kami masih belum tewas dalam saingan domestik dan akan melakukan segala-galanya untuk mengekalkan rekod itu,” kata Raphinha.
Raphinha kini mendahului carta penjaring La Liga dengan 12 gol, tiga gol mengatasi penyerang Real, Kylian Mbappe, manakala Yamal berada di tempat ketiga dengan lapan gol.
Mbappe dan Yamal turut mengintai peluang dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia pada majlis Ballon d’Or, awal pagi Selasa ini, namun kemenangan dalam El Clasico pastinya menjadi keutamaan buat kedua-dua pasukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




