Thiruvalla, India: Tiga tahun selepas mayat bayi perempuan berusia lapan bulan ditemukan di kawasan paya, polis akhirnya menahan ibu mangsa bagi membantu siasatan.
Kejadian dipercayai berlaku selepas seorang lelaki hilang sabar apabila bayi itu menangis.
Mayat bayi berkenaan ditemukan di kawasan paya berumput di Valanjavattom dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Pulikeezh, daerah Pathanamthitta, Kerala pada 12 Ogos 2023.
Ibu mangsa, Manju, ditahan pada Rabu manakala dua lagi lelaki yang turut dinamakan sebagai suspek, Sivan dan adiknya, Shakthi, masih diburu polis, lapor agensi berita PTI.
Penahanan itu dibuat selepas pasukan siasatan khas yang diketuai Timbalan Superintendan Polis Thiruvalla, P R Santhosh menjalankan siasatan lanjut bagi merungkai kematian bayi berkenaan.
Menurut polis, Manju meninggalkan suaminya, Esakki, selepas berlaku perselisihan faham pada 2023 sebelum pergi ke Alappuzha bersama anak perempuannya.
Ketika berada di sebuah kedai di Kalarkode, Sivan menghampiri Manju dan menawarkan diri untuk menjaga wanita itu bersama bayinya.
Manju kemudian mengikut lelaki berkenaan ke Changanassery.
Mereka kemudian tinggal bersama bayi itu di kaki lima sebuah kedai. Namun, pada suatu malam pada Ogos 2023, Sivan dikatakan hilang sabar apabila bayi berkenaan menangis ketika tidur.
Dalam keadaan marah, Sivan menekan leher bayi itu sehingga menyebabkan kematiannya, menurut polis. Sivan dan Manju kemudian meminta bantuan Shakthi untuk membuang mayat mangsa.
Kes itu terbongkar semula baru-baru ini selepas Manju pulang ke penempatannya di Palakkad tanpa membawa anaknya.
Apabila ditanya mengenai kehilangan anaknya, Manju didakwa gagal memberikan penjelasan jelas kepada pemaju penempatan berkenaan yang kemudian memaklumkan perkara itu kepada polis.
Siasatan lanjut membawa kepada pendedahan butiran kes berkenaan manakala Manju dilaporkan mengaku terbabit dalam jenayah itu ketika disoal siasat.
Manju yang juga tertuduh ketiga dalam kes berkenaan sudah dihadapkan ke mahkamah dan direman. Polis kini giat mengesan Sivan dan Shakthi bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




