Amaran ribut petir di 11 negeri, tiga Wilayah Persekutuan hingga 6 petang

Amaran ribut petir di 11 negeri, tiga Wilayah Persekutuan hingga 6 petang

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di 11 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan hingga 6 petang ini.

MetMalaysia menerusi kenyataan hari ini memaklumkan cuaca buruk di Semenanjung membabitkan seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan keseluruhan negeri Perlis, Terengganu serta Selangor.

Kawasan terjejas di Kedah ialah Bandar Baharu, Kubang Pasu, Padang Terap, Pokok Sena, Pendang, Sik, Kuala Muda, Langkawi, Kulim dan Baling, manakala di Perak membabitkan Kerian, Selama, Larut Matang, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.

Di Kelantan, amaran itu membabitkan kawasan Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Pasir Puteh, manakala kawasan yang terjejas di Pahang ialah Pekan, Kuantan, Cameron Highlands, Raub, Bentong, Lipis, Jerantut, Temerloh dan Maran.

Amaran sama turut dikeluarkan di Jelebu, Negeri Sembilan dan Johor membabitkan daerah Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Batu Pahat, Kulai, Johor Bahru dan Pontian.

Di Sarawak, keadaan cuaca itu dijangka menjejaskan Samarahan, Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Sibu, Bintulu (Tatau dan Sebauh), Limbang, Miri (Marudi, Telang Usan dan Beluru), Sarikei (Maradong), Kuching (Kuching dan Bau) serta Serian.

Sementara itu, di Sabah amaran membabitkan kawasan pedalaman (Pensiangan, Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort), Tawau, Sandakan dan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top