LONDON: Ketika Bruno Fernandes berjuang bersama Manchester United di Itali, kediaman mewah kapten itu di England pula menjadi sasaran pencuri yang melarikan barang kemas serta barangan berharga lain.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.30 malam, 21 Oktober lalu, ketika Fernandes bersama skuad United menghadapi Como dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah yang menyaksikan kelab itu tewas 1-4.
Isteri pemain berusia 32 tahun itu, Ana Pinho, bersama dua anak mereka tidak berada di rumah bernilai empat juta pound (RM22 juta) di Nether Alderley, Cheshire, ketika tiga lelaki tidak dikenali dipercayai menceroboh masuk.
Memuatkan artikel berkaitan…
Suspek dikatakan melompat pagar sebelum memasuki kediaman berkenaan dan berada di dalam rumah selama kira-kira lima minit sebelum melarikan diri.
Kejadian itu disedari selepas seorang jiran menghubungi polis kerana melihat aktiviti mencurigakan di taman belakang rumah berkenaan.
Walaupun Fernandes sudah memasang kamera litar tertutup (CCTV) serta sistem penggera berteknologi tinggi, kediaman yang terletak berhampiran kawasan hutan itu tetap menjadi sasaran penjenayah.
Kelab itu turut menyatakan sokongan kepada pemain berkenaan selain meminta ruang privasi diberikan kepada beliau dan keluarganya yang sudah menetap di kediaman itu sejak empat tahun lalu.
Jurucakap Polis Cheshire berkata, anggota yang tiba di lokasi mendapati suspek sudah melarikan diri, namun mengesahkan berlaku kejadian pecah rumah dan sejumlah barangan dilaporkan dicuri.
Detektif Inspektor David Jarvis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Proaktif Macclesfield berkata, siasatan masih di peringkat awal dan pihaknya berusaha mengesan individu yang bertanggungjawab.
“Siasatan masih di peringkat awal dan kami komited melakukan segala usaha untuk mengesan individu yang bertanggungjawab.
“Sebagai sebahagian daripada siasatan, kami akan menghubungi sesiapa yang berada di kawasan berkenaan ketika kejadian dan percaya mereka mungkin melihat sesuatu yang mencurigakan,” katanya.
Beliau turut meminta sesiapa yang berada di kawasan berkenaan ketika kejadian dan melihat sesuatu yang mencurigakan supaya tampil membantu siasatan.
Fernandes kini menjadi mangsa terbaharu dalam siri kejadian pecah rumah yang menyasarkan pemain bola sepak di kawasan Cheshire ketika mereka beraksi di tempat lawan.
Antara pemain yang pernah menjadi sasaran sebelum ini termasuk bekas bintang United, Paul Pogba, Victor Lindelof dan Jesse Lingard, selain pemain Manchester City, Ruben Dias serta Joao Cancelo.-AGENSI




