PRN Sarawak: GPS tampilkan gabungan muka baharu, calon berpengalaman – Abang Johari

PRN Sarawak: GPS tampilkan gabungan muka baharu, calon berpengalaman – Abang Johari

Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengetengahkan muka baharu di samping calon berwibawa dan berpengalaman bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pengerusi GPS itu berkata senarai calon gabungan berkenaan akan dimuktamadkan menerusi mesyuarat khas sebelum diumumkan dalam masa terdekat.

Abang Johari berkata terdapat wakil rakyat yang memilih untuk tidak meneruskan khidmat mereka pada penggal akan datang.

“Apa yang saya boleh ceritakan di sini ialah ia akan menampilkan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu.

“Sudah tentu ada muka baharu, (ada penyandang) bukan digugurkan (tetapi) mengundur diri,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Dewan Perdana, Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Abang Johari mengumumkan pembubaran DUN Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober bagi memberi laluan kepada PRN ke-13.

Pembubaran itu selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

GPS dianggotai empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.

Pada PRN Sarawak 18 Dis 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top