Ipoh: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak mengesahkan kehadiran dua ekor buaya sekitar perairan Sungai Perak berhampiran Jeti Bagan Datuk pada 19 Oktober lalu.
Pengarahnya Dr Pazil Abdul Patah berkata, aduan berhubung penampakan kelibat reptilia berkenaan diterima daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang kira-kira jam 6 petang.
“Susulan laporan itu, pihak PERHILITAN telah melakukan siasatan dan pemantauan di lokasi kejadian pada keesokannya (20 Oktober) bagi menilai situasi keselamatan di persekitaran kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.
Pada 20 Oktober lalu, penampakan seekor buaya bersaiz tiga meter berdekatan Kampung Pasang Api, Bagan Datuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat dan pemancing di lokasi berkenaan.
Mengulas tindakan lanjut Perhilitan, Pazil berkata, pemantauan berterusan akan dilaksanakan di kawasan terbabit dari semasa ke semasa, selain memaklumkan tiada keperluan untuk menangkap atau memindahkan kedua-dua buaya tersebut ke lokasi lain.
Ini kerana, katanya Sungai Perak adalah habitat semula jadi reptilia itu selain penampakan kelibat di sekitar perairan itu adalah perkara normal.
“Bagaimanapun, sebagai langkah keselamatan pihak PERHILITAN akan mempertimbang untuk pemasangan papan tanda amaran kehadiran buaya di kawasan itu untuk peringatan kepada penduduk dan pengunjung,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk setempat serta komuniti pemancing agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan menjauhi kawasan tebing sungai serta tidak mengganggu atau memprovokasi sekiranya melihat kelibat reptilia terbabit.
“Selain itu, orang ramai yang melihat kehadiran reptilia terbabit diminta supaya segera memaklumkan kepada pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




