PPUM hargai Tabung Media Prima-NSTP, penyumbang PPUMCare bantu pesakit kurang berkemampuan

PPUM hargai Tabung Media Prima-NSTP, penyumbang PPUMCare bantu pesakit kurang berkemampuan

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menghargai penyumbang Tabung PPUMCare atas sokongan dan kepercayaan dalam membantu pesakit yang berhadapan dengan kekangan kewangan untuk mendapatkan rawatan.

Ia dizahirkan menerusi Majlis Penghargaan Penyumbang PPUMCare 2026 yang menghimpunkan penyumbang daripada sektor korporat, organisasi dan individu, bersama barisan pengurusan PPUM serta pihak terbabit pengurusan bantuan pesakit.

Majlis berkenaan turut mengiktiraf kerjasama antara pihak hospital dan masyarakat dalam meringankan beban pesakit serta keluarga, di samping memastikan mereka berpeluang meneruskan rawatan yang diperlukan.

Turut menerima penghargaan adalah Tabung Kemanusiaan Media Prima – NSTP, antara organisasi yang menjalinkan usaha sama bersama PPUM untuk membantu pesakit menerima rawatan.

Pengerusi Tabung PPUMCare, Chew Yee Yean berkata, keperluan terhadap bantuan pesakit terus menjadi perhatian berdasarkan jumlah sumbangan dan permohonan bantuan yang diterima.

“Sepanjang 2025, tabung ini menerima sumbangan berjumlah RM5.68 juta dan membantu 2,289 permohonan melalui Jabatan Kerja Sosial Perubatan PPUM, dengan anggaran keseluruhan kos bantuan sebanyak RM8.73 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

PPUMCare berperanan sebagai penyalur bantuan kewangan bagi pesakit yang memerlukan sokongan untuk mendapatkan rawatan yang disyorkan oleh pakar perubatan, termasuk ubat-ubatan khas, peralatan perubatan dan prosedur rawatan khusus yang membabitkan kos tinggi.

Sumbangan yang disalurkan bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan, malah memberikan harapan kepada pesakit dan keluarga ketika menghadapi cabaran penyakit.

Sehingga Julai 2026, sebanyak 1,326 permohonan bantuan diterima, membabitkan kos rawatan berjumlah RM4.65 juta, sekali gus mencerminkan keperluan terhadap sokongan berterusan bagi memastikan pesakit yang layak mendapat bantuan sewajarnya.

Sehubungan itu, PPUMCare akan terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta meningkatkan keupayaan Tabung PPUMCare bagi memastikan kesinambungan bantuan kepada pesakit yang memerlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top