harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada kecederaan pada organ dalaman ditemukan pada Allahyarham Noorizwan Zulkefly, yang meninggal dunia semasa dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sini.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Aida Abdul Hamid berkata, itu adalah dapatan hasil daripada bedah siasat dijalankan pihak forensik dan menjelaskan hanya kecederaan luaran ditemui pada tubuh Noorizwan, 42.
Beliau berkata, punca sebenar kematian masih tidak diumumkan secara rasmi berikutan masih menanti laporan penuh daripada analisis makmal, namun kes itu sudah dirujuk ke Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
“Berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati tiada sebarang kecederaan organ dalaman, namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran. Punca kematian dinyatakan sebagai pending laboratory analysis.
“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut di mana Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut.
“Pihak USJKT sudah merakam percakapan 78 saksi terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar perubatan forensik, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) termasuk dua orang waris,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis memegang teguh pada prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan keadilan dalam menangani sebarang insiden sedemikian.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai memberi ruang untuk siasatan terperinci dijalankan dan memohon tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
“JIPS memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan selaras dengan peraturan dan undang-undang,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, pihak polis masih menunggu laporan penuh Jabatan Kimia dan keputusan patologi bagi menentukan punca sebenar kematian seorang lelaki ketika dalam tahanan, 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, orang kena tahan (OKT) terbabit meninggal dunia pada jam 1.52 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
© New Straits Times Press (M) Bhd




