Pelumba golf England, Ian Poulter, menjadi pemain terbaharu meninggalkan LIV Golf apabila mengumumkan tidak akan menyertai pelancaran semula yang dicadangkan menerusi model LIV 2.0, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada golf senior dan meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
Pengumuman Poulter hadir beberapa hari selepas bekas juara Terbuka Britain, Louis Oosthuizen, mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan siri berkenaan yang masa depannya masih belum menentu.
Bekas pemain nombor satu dunia, Jon Rahm, turut antara pemain yang meninggalkan LIV Golf, yang kini berusaha keluar daripada proses kebankrapan Bab 11 selepas Dana Pelaburan Awam Arab Saudi (PIF) mengumumkan pada April bahawa pihaknya mengurangkan pembiayaan.
LIV Golf berjaya mendapatkan pelaburan daripada BC Partners Credit dan dijangka membuat keputusan bulan ini sama ada mahu menamatkan operasinya atau meneruskan saingan menerusi model 2.0.
“Saya memutuskan untuk tidak meneruskan penyertaan dalam LIV 2.0,” kata Poulter menerusi hantaran panjang di platform X.
“Tidak perlu dikatakan, keputusan ini sukar dan saya memikirkannya serta membincangkannya secara mendalam bersama keluarga dan pasukan saya.”
Poulter, 50, yang lima kali membantu pasukan Eropah menjuarai Piala Ryder, gagal memenangi sebarang gelaran individu atau berpasukan sepanjang bersama LIV Golf.
Bagaimanapun, beliau memiliki 17 kemenangan profesional, termasuk tiga gelaran di Jelajah PGA.
“Pada akhirnya, peluang untuk meluangkan lebih banyak masa di rumah bersama keluarga, mengurangkan perjalanan antarabangsa, memberi tumpuan kepada golf senior dan meneroka minat lain adalah sesuatu yang saya rasakan tepat untuk peringkat kehidupan dan karier saya ketika ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




