Wanita patah lima tulang rusuk selepas dipeluk suami

Wanita patah lima tulang rusuk selepas dipeluk suami

BEIJING – Seorang wanita di China patah lima tulang rusuk dan satu lagi keretakan halus selepas dipeluk suaminya.

Menurut laporan media, kejadian itu berlaku selepas wanita berkenaan memberitahu suaminya yang hanya dikenali sebagai Wang bahawa dia berasa sejuk.

Wang kemudian memeluk isterinya seperti biasa untuk memberikan kehangatan, namun terdengar bunyi retakan sebelum isterinya tiba-tiba terduduk kesakitan dan sukar untuk berdiri semula.

Wang berkata, isterinya pada awalnya menyangka kecederaan tersebut hanya ketegangan otot ringan.

Wanita itu menahan kesakitan sebelum mendapatkan rawatan di hospital pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT) pada bahagian dada mendapati lima tulang rusuknya patah, manakala satu lagi mengalami keretakan halus.

Doktor membenarkan wanita itu pulang dengan bekalan ubat serta tampalan untuk membantu proses pemulihan, selain menasihatinya supaya berehat sepenuhnya.

Pasangan itu turut dimaklumkan bahawa wanita berkenaan tidak memerlukan pembedahan bagi merawat kecederaan tersebut.

Menurut petugas perubatan, tulang wanita itu rapuh akibat osteoporosis yang teruk, sekali gus menyebabkannya mudah patah walaupun menerima tekanan daripada aktiviti harian.

Mengimbas rutin harian isterinya, Wang berkata, wanita itu mempunyai berat badan antara 45 hingga 50 kilogram dan kerap mengamalkan diet ketat.

Isterinya juga sering tidak makan malam, minum kopi setiap hari serta jarang keluar rumah.

Malah, wanita itu lazimnya menutup seluruh tubuh ketika berada di luar bagi mengelakkan pendedahan kepada cahaya matahari.

Doktor tempatan menjelaskan bahawa kekurangan pendedahan kepada cahaya matahari boleh menjejaskan penghasilan vitamin D dalam badan, sedangkan vitamin itu penting untuk membantu penyerapan kalsium dan mengekalkan kekuatan tulang.

Menurut Cleveland Clinic, osteoporosis ialah penyakit yang melemahkan tulang dan meningkatkan risiko seseorang mengalami patah tulang kerana ketumpatan tulang menjadi lebih rendah daripada keadaan normal.

Laporan itu menyatakan wanita berkenaan kini memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan dan sedang menjalani proses pemulihan di rumah.

Dia juga mula mengubah gaya hidup dengan meluangkan lebih banyak masa di luar rumah untuk mendapatkan cahaya matahari serta memastikan pengambilan kalsium mencukupi.

 

 

Scroll to Top