Shah Alam: Berbekalkan modal serendah RM114, sepasukan lima murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Puchong Utama 2 membuktikan bahawa kekangan kos bukan penghalang untuk mencipta inovasi berimpak tinggi selepas meraih Anugerah Khas Kategori Inovasi Digital pada Majlis Apresiasi Metamorfosis Negeri Selangor 2026, semalam.
Pasukan yang dianggotai lima murid tahun enam dikenali sebagai Pasukan Harmoni itu berjaya memikat hati juri menerusi ciptaan “Pothole Detector On-The-Go“, iaitu produk inovasi berasaskan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) yang berfungsi mengesan masalah jalan berlubang secara masa nyata, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000, piala berserta sijil penghargaan.
Lebih membanggakan apabila pasukan itu berjaya mengatasi saingan 240 peserta lain, termasuk daripada institusi pengajian tinggi (IPT), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta syarikat berkaitan kerajaan dan swasta, dalam pertandingan yang turut mengetengahkan pelbagai inovasi berimpak tinggi.
Ahli pasukan, Syafierul Qaleef Shahrul Anuar, 12, berkata, idea pembangunan alat itu terbit daripada kesedaran terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya, selain memanfaatkan sukatan pembelajaran yang dipelajari di sekolah sejak Julai lepas.
“Tidak mahal, saya dan ahli pasukan buat projek ini dengan kos lebih kurang RM114 sahaja. Antara komponen yang dipakai ialah diod pemancar cahaya (LED), buzzer, sensor ultrasonik, sensor pengawal, kereta mainan dan banyak bahagian lagi.
“Yang kami hasilkan ini memang ada dalam sukatan pembelajaran kami. Secara peribadi, saya ada impian ingin sambung belajar dalam bidang kejuruteraan dan menghasilkan robot untuk sektor pertanian dan perladangan,” katanya ketika ditemui Bernama di Glenmarie, malam tadi.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Sementara itu, guru pengiring pasukan, Amirah Najihah Mohd Taufik, 25, berkata, “Pothole Detector On-The-Go” direka khusus bagi mengesan kerosakan jalan seterusnya menghantar isyarat serta amaran secara terus kepada sistem pemantauan.
“Pothole Detector On-The-Go ini sebenarnya dicipta untuk mengesan lubang di jalan raya. Kemudian, alat itu akan berbunyi menandakan ada lubang dan kita pasang terus dengan sistem. Sistem itu akan menghantar data secara terus supaya pihak yang memantau boleh tahu lokasi lubang tersebut secara tepat.
“Sistem ini juga mempunyai pelbagai fungsi amaran lain. Kajian dan pembangunan (R&D) projek ini dijalankan sejak Julai oleh lima murid yang dipilih berdasarkan pencapaian markah tertinggi dalam subjek Sains serta kemahiran pembentangan mereka yang cemerlang,” katanya.
Amirah Najihah berkata, produk inovasi ciptaan muridnya itu amat relevan memandangkan isu jalan berlubang merupakan masalah kritikal yang boleh menyebabkan kemalangan atau kecederaan kepada pengguna jalan raya.
Beliau berkata produk itu akan terus dibangunkan menerusi integrasi kamera dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan keberkesanan serta potensinya untuk digunakan di Malaysia dan peringkat antarabangsa, selain pihak sekolah terbuka kepada kerjasama dengan mana-mana pihak bagi memperkasakan dan mengembangkan inovasi berkenaan.
Majlis Apresiasi Metamorfosis Negeri Selangor 2026 ialah acara rasmi tahunan pentadbiran kerajaan negeri bertujuan mengiktiraf dan meraikan kecemerlangan hasil inovasi penjawat awam, sektor swasta, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah serta orang ramai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




