Pesawat ringan mendarat secara menegak di tepi jejambat

Pesawat ringan mendarat secara menegak di tepi jejambat

WASHINGTON: Satu rakaman video memaparkan detik sebuah pesawat kecil berenjin kipas merempuh jejambat sebelum mendarat dalam keadaan menegak di hadapan kenderaan yang sedang bergerak dalam kesesakan lalu lintas di California.

Kejadian itu berlaku pada minggu lalu di bandar San Jose. 

Dua orang dewasa dan seorang kanak-kanak berada di dalam pesawat itu tetapi terselamat. Mereka dibawa ke hospital dengan kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jabatan Bomba San Jose berkata, pihaknya menerima laporan mengenai nahas itu sejurus sebelum jam 3.10 petang waktu tempatan dan mengenal pasti pesawat yang remuk itu sebagai Cessna 177A Cardinal keluaran 1960.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan di jejambat berkenaan, pesawat tersebut dilihat terbang amat rendah dipercayai untuk melakukan pendaratan kecemasan sebelum sayap kirinya merempuh tiang lampu jalan.

Rempuhan itu menyebabkan pesawat terbalik 180 darjah di udara sebelum terhempas dengan bahagian muncung mendarat terlebih dahulu ke atas jalan raya. 

Ia kemudian terpusing sekali lagi dalam keadaan kedudukan pesawat kekal menegak sebelum berhenti sepenuhnya.

Pihak bomba mengesahkan tiada sebarang kenderaan lain yang dirempuh dalam kejadian itu biarpun lalu lintas agak sesak. 

Punca sebenar nahas masih dalam siasatan.

Namun, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan juruterbang sempat melaporkan masalah enjin sebelum terhempas.

Berdasarkan rekod penerbangan, pesawat berkenaan berdaftar di bawah Flying Twenty Inc, sebuah kelab penerbangan tidak berasaskan keuntungan untuk pelajar, alumni dan fakulti San Jose State University yang beroperasi di Lapangan Terbang Reid Hillview. – AGENSI

Scroll to Top