nurul_husna@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Hasrat kerajaan menggalakkan rakyat beralih kepada aplikasi navigasi tempatan, TuJu, masih belum membuahkan hasil apabila sistem berkenaan didakwa kerap ‘lumpuh’ dan kurang mesra pengguna.
Meskipun mencatatkan lonjakan muat turun melebihi 800,000 pengguna berikutan isu keselamatan data pada aplikasi luar seperti Waze, realiti penggunaannya di jalan raya masih jauh daripada memuaskan keperluan pemandu tempatan.
Hasil tinjauan mendapati aplikasi hasil pembangunan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) itu berdepan pelbagai masalah teknikal kritikal sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati ramai.
Pengalaman penulis sendiri ketika menggunakan aplikasi itu dari Bangsar ke Bukit Jalil turut mengecewakan apabila sistem navigasinya langsung tidak berfungsi.
Antara kelemahan utama yang dikesan termasuk fungsi carian lokasi yang sering memaparkan paparan ‘Tiada Keputusan Ditemui’. Malah, mercu tanda utama di kawasan bandar seperti Pavilion Bukit Jalil dan Bukit Jalil Golf & Country Club juga gagal dikesan sistem.
Lebih memeningkan, proses log masuk turut berdepan gangguan apabila mesej ‘Emel Tidak Sah’ kerap muncul walaupun maklumat yang dimasukkan adalah tepat. Ditambah pula, tiada fungsi tetapan semula (reset) atau saluran terus untuk melaporkan masalah sekiranya pengguna gagal mendaftar masuk.
Pemeriksaan di stor aplikasi menunjukkan ruangan ulasan dihujani aduan sama daripada pengguna lain.
Fungsi navigasi masa nyata (real-time) aplikasi berkenaan didapati tidak stabil, kerap terputus, mengelirukan, serta gagal menyediakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas—fitur asas yang sudah lazim ditawarkan aplikasi navigasi lain.
Seorang pengguna yang dikenali sebagai JuanLela 9497 turut kecewa apabila proses asas seperti pendaftaran dan log masuk menjadi penghalang utama.
”Nak pendaftaran pun susah, apatah lagi nak log masuk. Mohon semak semula aplikasi ini. Sudah masuk berita di TV3, tetapi kualitinya amat mengecewakan,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Fauzan Roslan, mendakwa carian asas juga gagal diproses oleh aplikasi terbabit.
”Taip carian ‘CIMB Bank’ pun tidak keluar… jika aplikasi belum bersedia dan tiada fungsi asas, tidak perlu dilancarkan lagi,” tegasnya.
Isu ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memohon maaf sambil mengesahkan terima maklum balas daripada LLM bahawa aplikasi TuJu sememangnya masih tidak lengkap dan mengandungi banyak kekurangan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menggesa pihak LLM dan PCSB untuk tampil memberikan penjelasan terperinci serta menyeluruh bagi mengembalikan keyakinan pengguna.
Pihak LLM dan PCSB kini dilaporkan sedang bertungkus-lumus menjalankan proses pemulihan pelayan (server) serta penambahbaikan sistem secara berperingkat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




