KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil pengendali sebuah podcast bagi membantu siasatan dakwaan kegiatan pengedaran dadah berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata setakat ini, polis sudah merakam keterangan empat individu berhubung kes berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, sebelum kes dirujuk kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Setakat ini ada empat keterangan diambil. Kita juga akan memanggil pihak penganjur podcast.
“Kita juga akan rujuk kes kepada pihak pendakwaan dalam kadar segera,” katanya dalam sidang akbar selepas Program Taman Angkat Amanita IPD Wangsa Maju di PPR Laksamana, Jalan Peel, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fadil berkata, perkongsian pengalaman melalui platform podcast perlu dibuat secara bertanggungjawab supaya tidak mengelirukan masyarakat atau menimbulkan persepsi negatif terhadap pasukan polis.
Menurutnya, cara penyampaian juga perlu bersesuaian dengan platform digunakan dan tidak menimbulkan kegusaran yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“Perkongsian pengalaman itu baik, tetapi biarlah sesuai dengan platform dan cara penyampaian, selain tidak mengelirukan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap pasukan.
“Beri masa kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan bagi menentukan sama ada perkara yang disiasat berlaku atau sebaliknya,” jelasnya.
Pada 20 Oktober lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, polis akan mengambil keterangan seorang bekas wartawan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
Siasatan itu dimulakan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh Pengerusi Kuil Marathadi Madurai Veeran Kuala Lumpur bagi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan dalam video berkenaan.
Sebelum ini, polis mengesahkan dakwaan kegiatan pengedaran dadah berhampiran IPD Sentul yang tular menerusi podcast berkenaan sebenarnya merujuk kejadian pada 12 Julai 2016.
Semakan polis mendapati kandungan podcast berkenaan adalah penceritaan semula pengalaman seorang tetamu ketika bertugas sebagai wartawan kira-kira 10 tahun lalu.
Dalam podcast berkenaan, tetamu itu mendakwa pernah memantau kegiatan pengedaran dadah di sebuah rumah ibadat yang tidak lagi digunakan, berhampiran sebuah balai polis di Sentul.
Dia mendakwa berada di kawasan itu antara tiga hingga empat hari bagi mengesan kegiatan dadah yang dikatakan berlaku di tandas lama bangunan berkenaan.
Tetamu itu turut mempersoalkan bagaimana kegiatan dadah yang didakwanya berskala besar boleh berlaku berhampiran balai polis tanpa disedari pihak berkuasa. – UTUSAN




