Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi negara – BNM

Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi negara – BNM

Shah Alam: Selangor merekodkan kerugian tertinggi akibat penipuan dalam talian di seluruh negara apabila mangsa kehilangan RM986.79 juta pada 2025, hampir satu pertiga daripada jumlah RM2.97 bilion yang dicatatkan di Malaysia.

Jumlah kerugian di negeri itu meningkat lebih dua kali ganda berbanding RM446.16 juta pada 2024, sekali gus menunjukkan ancaman penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata BNM bersama institusi kewangan dan agensi penguatkuasaan terus memperkukuh pertahanan bagi menangani ancaman berkenaan.

Katanya, langkah yang diambil termasuk mempercepat pengesanan dana dicuri dan memperketat tahap keselamatan perbankan dalam talian.

“Namun, sistem yang kukuh sahaja tidak mencukupi. Perlindungan pertama tetap bermula dengan kewaspadaan kita sendiri.

“Oleh sebab itu, apabila didesak untuk bertindak segera, semak melalui saluran rasmi sebelum berkongsi maklumat atau memindahkan wang.

“Institusi kewangan pula perlu memperkukuh kawalan keselamatan, memperjelas amaran kepada pelanggan dan bertindak pantas terhadap aktiviti mencurigakan bagi mengurangkan risiko penipuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Celik Kewangan Selangor 2026 di sini hari ini.

Abdul Rasheed berkata, kepantasan transaksi digital yang membolehkan pembayaran dan pemindahan wang dilakukan dalam beberapa saat turut mengehadkan ruang pengguna untuk membuat pertimbangan sebelum bertindak.

“Disebabkan itu, antara situasi yang perlu kita waspada ialah panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa sebelum mendesak mangsa memindahkan wang, kononnya bagi mengelakkan akaun mereka disekat.

“Dalam keadaan sedemikian, pengguna perlu mengambil masa untuk menyemak kesahihan permintaan menerusi saluran rasmi sebelum berkongsi maklumat peribadi atau memindahkan wang,” katanya.

Beliau turut menyentuh potensi kecerdasan buatan (AI) untuk membantu institusi kewangan mengesan aktiviti luar biasa serta menyampaikan peringatan kepada pengguna pada waktu yang sesuai.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan teknologi perlu disertai perlindungan data peribadi dan sokongan mencukupi bagi memastikan pengguna dapat membuat keputusan kewangan yang lebih baik.

Statistik kerugian itu dipaparkan dalam slaid pembentangan Gabenor BNM dengan merujuk jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Parlimen pada Jun lalu.

Menurut data KDN, kerugian penipuan dalam talian di seluruh negara melonjak daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada 2025.

Selangor dan Kuala Lumpur kekal sebagai kawasan paling teruk terjejas bagi tiga tahun berturut-turut, dengan kerugian gabungan berjumlah kira-kira RM1.77 bilion pada 2025.

Kuala Lumpur merekodkan kerugian RM782.86 juta pada tahun berkenaan, meningkat daripada RM293.30 juta pada 2024.

Dari segi modus operandi, pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian terbesar di seluruh negara, iaitu RM1.46 bilion pada 2025, diikuti jenayah telekomunikasi sebanyak RM802.47 juta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top