zatuliffah@hmetro.com.my
Sibu: Sebanyak 46 projek berkaitan air membabitkan peruntukan keseluruhan RM7.4 bilion akan dilaksanakan di Sarawak menerusi Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh keterjaminan sumber air serta mengurangkan risiko bencana.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek itu merangkumi 33 projek sambungan dan 13 projek baharu dengan RM5.8 bilion daripadanya membabitkan pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, projek JPS itu meliputi tebatan banjir, pemuliharaan sungai dan pemuliharaan hakisan pantai.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat memperkukuh keterjaminan sumber air, mengurangkan risiko bencana dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Fadillah berkata, kementeriannya melalui JPS turut melaksanakan Kajian Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi Lembangan Batang Rajang yang dijangka siap pada Ogos 2027.
Beliau berkata, lembangan itu adalah satu daripada sembilan lembangan sungai di Sarawak yang terbabit dalam pelaksanaan kajian IRBM.
Katanya, hasil kajian berkenaan diharap dapat menyediakan pelan tindakan bagi membantu kerajaan Sarawak merancang pengurusan sungai secara lebih bersepadu, sistematik dan berterusan.
“Usaha ini penting supaya sumber air terpelihara, risiko banjir dapat dikurangkan dan pembangunan dapat mengambil kira kesejahteraan masyarakat serta kelestarian alam sekitar,” katanya.
Tambahnya lagi, peruntukan, projek pembangunan dan kajian berkenaan mencerminkan komitmen PETRA untuk memastikan sungai dan sumber air diurus dengan lebih baik.
“Namun, kejayaan usaha ini memerlukan kerjasama erat kerajaan Sarawak, agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan serta masyarakat. Apabila perancangan yang baik disertai penglibatan rakyat, manfaatnya dapat dirasai untuk jangka masa panjang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




