Bandar Madani Bukit Jalil: DBKL digesa semak semula kelulusan 17,000 unit rumah

Bandar Madani Bukit Jalil: DBKL digesa semak semula kelulusan 17,000 unit rumah

nurul_husna@mediaprima.com.my

​

Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan Penduduk Bukit Jalil terus menyuarakan kebimbangan berhubung cadangan pembinaan 17,000 unit kediaman di Bandar Madani, Bukit Jalil.

Ia dibangkitkan menerusi Sesi Libat Urus Bersama Wakil Penduduk dan Pihak Berkepentingan bagi Peringkat Laporan Interim: Kajian Pelan Kawalan Mikro Bukit Jalil, hari ini.

​Pengerusinya, Zainuddin Zainal, berkata infrastruktur sedia ada terutamanya laluan trafik utama kini berada pada tahap tepu dan tidak lagi mampu menampung kepadatan penduduk setempat.

Beliau berkata, kualiti aliran trafik di Lebuh Raya Bukit Jalil berada pada Tahap Perkhidmatan ‘D’ (Level of Service – LOS), menunjukkan keadaan lalu lintas amat padat dan tidak memuaskan.

Katanya, sementara itu, jalan kecil atau ‘lorong tikus’ pula tidak mempunyai ketersambungan yang baik untuk menampung aliran kenderaan.

​”Jalan Persiaran Puncak Jalil ialah laluan utama penduduk untuk keluar ke Lebuh Raya Bukit Jalil. Jika kedua-dua jalan ini tidak dinaik taraf, keadaan trafik dijangka menjadi jauh lebih teruk apabila projek baharu ini siap kelak,” katanya ketika ditemui pada sesi libat urus berkenaan.

​Berdasarkan kajian sedia ada, sebanyak 15,000 unit kediaman kini sedang dalam pembinaan dalam radius dua kilometer di kawasan terbabit.

Keadaan dijangka bertambah kritikal sekiranya cadangan pembinaan 17,000 unit rumah baharu diluluskan dalam tempoh 10 tahun akan datang, sekali gus melonjakkan jumlah pertambahan unit kediaman kepada 32,000 unit.

​

Zainuddin berkata, kebanyakan projek di Bukit Jalil membabitkan pembangunan menegak seperti kondominium berketumpatan tinggi mencecah sehingga 2,000 unit bagi setiap projek, iaitu skala yang tidak sepadan dengan kapasiti infrastruktur sedia ada.

​Beliau berkata, selain kesesakan lalu lintas, ketiadaan stesen pengangkutan awam berintegrasi di kawasan cadangan Bandar Madani turut menjadi kerisauan utama, dan stesen LRT sedia ada seperti Alam Sutera, Bukit Jalil, dan Sri Petaling terletak agak jauh dari kawasan terbabit.

Katanya, pada masa sama, tiada rancangan pembinaan stesen MRT atau LRT baharu yang menyediakan ketersambungan terus untuk penduduk, sekali gus memaksa mereka bergantung kepada kenderaan persendirian.

​Justeru, beliau menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyemak semula kelulusan projek kediaman baharu dan mengalihkan tumpuan kepada usaha menaik taraf infrastruktur jalan raya, khususnya Lebuh Raya Bukit Jalil dan Persiaran Puncak Jalil.

​”Sebenarnya, kerajaan boleh mengalihkan tumpuan daripada membina unit kediaman, kepada pembangunan infrastruktur lain seperti hospital dan sekolah,” katanya.

​Bagaimanapun, beliau mewakili penduduk menyambut baik langkah DBKL mengambil kira maklum balas komuniti sebelum perancangan pembangunan Bandar Madani diteruskan.

​Sesi libat urus berkenaan turut dihadiri oleh perunding dilantik yang mewakili DBKL iaitu SAM Planners Sdn. Bhd menerusi Pengarah Urusannya, Datuk Shamsol Jeffri Zainal Abidin.

Sesi libat urus kedua dijangka pada Oktober ini bagi membincangkan cadangan penyelesaian berhubung isu pembangunan 17,000 unit kediaman Bandar Madani serta kesejahteraan penduduk Bukit Jalil.

​Sebelum ini, gabungan itu sudah menyerahkan memorandum bantahan ditandatangani 75 organisasi kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memorandum itu menzahirkan bantahan penduduk Bukit Jalil, Bandar Kinrara, dan Taman Puncak Jalil terhadap cadangan pembinaan 17,000 unit pangsapuri di atas kawasan seluas 26.30 hektar di Bukit Jalil, atas dasar pembangunan tidak selaras dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top