Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan memilih untuk menanggung peningkatan kos subsidi bahan api yang dianggarkan mencecah RM45 bilion setahun daripada memindahkan beban tersebut kepada rakyat.
Beliau berkata, keputusan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter dibuat meskipun harga minyak mentah dunia melonjak melebihi AS$100 setong, sekali gus meningkatkan tanggungan kewangan kerajaan.


Menurut Anwar, ketika Belanjawan tahun lalu diumumkan, harga minyak mentah dunia berada sekitar AS$70 setong, namun kini meningkat kepada antara AS$120 hingga AS$130 setong.
Keadaan itu menyebabkan perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan dijangka meningkat kepada antara RM42 bilion hingga RM45 bilion setahun.
“Kos yang ditanggung oleh kerajaan akan mencecah antara RM42 hingga 45 bilion setahun. Ya. Tetapi, apa pilihan?
“Lebih baik kerajaan terbeban dari bebankan rakyat dan ibu bapa kita. Itu dasar Kerajaan MADANI yang kita pegang.
“Mudah, tidak mudah. Kerana ini harus kita tangani dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP) di pekarangan Kompleks Sukan Hang Jebat, Taman Paya Rumput, Melaka, hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; timbalannya, Datuk Dr Fuziah Salleh serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohd Sayuthi Bakar.
Dalam pada itu, Anwar turut membidas pandangan pihak tertentu, termasuk dalam kalangan pembangkang dan pakar ekonomi, yang mencadangkan harga minyak dinaikkan bagi mengurangkan tanggungan subsidi kerajaan.

Menurutnya, cadangan sedemikian tidak mengambil kira realiti kehidupan masyarakat berpendapatan rendah, khususnya penduduk luar bandar, pekerja dan penjawat awam peringkat bawahan.
“Ada pakar ekonomi kata naiklah harga minyak. Tengok di Parlimen, ada yang mengatakan, subsidi banyak tu, jangan nanti rakyat itu akan jadi terpaksa bergantung kepada kerajaan, tak ada motivasi untuk kerja.
“Ini saya tak tahu dia cakap ni daripada dunia yang mana. Dia tak faham hidup orang kampung, tak faham nasib pekerja, penjawat awam, peringkat rendah,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan, kenaikan harga minyak mengikut pasaran boleh menyebabkan isi rumah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan setiap hari, terutama bagi urusan menghantar anak ke sekolah dan berulang-alik ke tempat kerja.
“Kalau kita naikkan harga minyak ikut pasaran, tiap hari kena tambah RM2, RM3, minimum atau RM5, tiap hari.
“Bayangkan kalau penggunaan itu lebih, hantar anak ke sekolah, pergi kerja, tiap hari RM10. Jadi sebab itu, kita turunkan harga minyak,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Anwar berkata, peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) mencerminkan komitmen kerajaan memperkukuh langkah menangani tekanan kos sara hidup melalui pelbagai inisiatif, termasuk pelaksanaan Jualan Rahmah.
Beliau menegaskan pendekatan Kerajaan MADANI adalah untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus diberi keutamaan meskipun kerajaan berdepan peningkatan kos subsidi susulan ketidaktentuan harga minyak global.
Sumber: Harian Metro (Meor Riduwan Meor Ahmad)







