Jangan jadikan laporan polis alat bungkam suara pembela petani – Pemuda Pas

Jangan jadikan laporan polis alat bungkam suara pembela petani – Pemuda Pas

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) seharusnya memberikan penjelasan berasaskan fakta berbanding membuat laporan polis terhadap pempengaruh, Zainal Rashid Ahmad (ZRA), berhubung isu pengurusan beras negara.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri berkata, isu berkenaan wajar dijawab secara terbuka bagi memastikan persoalan yang melibatkan kepentingan rakyat mendapat perhatian sewajarnya.

Beliau berkata, tindakan membuat laporan polis itu turut menimbulkan kebimbangan berhubung ruang kebebasan bersuara serta kesediaan pemimpin politik menerima kritikan.

“Pemuda Pas menghormati hak mana-mana pihak untuk membuat laporan polis. Namun, hak tersebut tidak sewajarnya disalahgunakan untuk menekan pengkritik atau menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat yang mahu menyuarakan pandangan mereka.

“Sumber dan masa pihak berkuasa amat berharga. Pertikaian politik yang boleh diselesaikan melalui penjelasan terbuka tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada tugas utama polis dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abbas Azmi membuat laporan polis terhadap ZRA berhubung kenyataannya mengenai pengurusan padi dan beras negara yang didakwa bercanggah dengan fakta rasmi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pada Jumaat.

Mohd Hafez yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi berkata, kesusahan petani tidak seharusnya diketepikan semata-mata bagi menjaga imej politik mana-mana pemimpin atau menteri.

“Pemimpin kerajaan, termasuk menteri daripada Amanah, perlu bersedia menerima teguran dan menjawab persoalan rakyat secara terbuka.

“Kesetiaan kepada parti tidak boleh mengatasi tanggungjawab untuk mendengar keluhan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha membela nasib petani, memperjuangkan kebajikan golongan miskin serta membangkitkan isu berkepentingan awam merupakan sebahagian daripada hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi.

“Membela petani bukan satu jenayah, memperjuangkan nasib golongan miskin bukan satu kesalahan dan mengkritik pemimpin bukan alasan untuk menakut-nakutkan rakyat.

“Pemuda Pas akan terus mempertahankan hak rakyat untuk bersuara serta memastikan isu kebajikan petani tidak tenggelam dalam pertikaian politik,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap pihak berkuasa dapat mengendalikan sebarang laporan yang diterima secara bebas, adil dan profesional.

Scroll to Top