am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengguna yang sudah membeli tiket bas ekspres menerusi ejen tiket dalam talian (OTA) tidak perlu panik kerana ia masih boleh digunakan untuk perjalanan seperti biasa berkuatkuasa 1 November ini.
Kebimbangan itu timbul susulan arahan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang menetapkan penjualan tiket bas ekspres hanya boleh dikendalikan secara terus oleh pihak terminal bas ekspres yang berlesen.
Pengerusi Terminal Management and Services (TMAS) Sdn Bhd Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pelaksanaan itu dibuat bagi melindungi kepentingan pengguna, terutamanya golongan B40 daripada dikenakan tambang yang melampau.
Katanya, pengguna dan pengendali bas ekspres tidak perlu bimbang kerana mereka juga diberi tempoh sehingga enam bulan bagi membolehkan semua tiket yang sudah dibeli awal, dapat digunakan.
“Kami faham ada yang sudah beli tiket sampai ke bulan Disember, Januari, malah untuk Hari Raya pun ada yang dah beli awal, jadi kita akan layan dan ‘honour’ tiket berkenaan.
“Falsafah kita adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kerana sebahagian besar pengguna adalah golongan B40.
“Apabila dibeli di terminal, kita hanya mengenakan kadar cas komersial yang sesuai kepada pengendali bas, berbanding cas komersial OTA,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Sebelum itu, media melaporkan Kementerian Pengangkutan memberi jaminan ketetapan baharu penjualan tiket bas ekspres (BE) menerusi terminal dilesenkan tidak akan merugikan pengusaha bas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, sebaliknya langkah yang diambil Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) itu hanya mahu menyekat ejen tiket dalam talian (OTA) yang kebanyakannya beroperasi dari luar negara.
Jelas Mohamed Nazri, tindakan APAD mewajibkan penjualan tiket mengikut kawalan terminal bukannya hanya tertumpu kepada Terminal Bersepadu Selatan (TBS) saja, sebaliknya merangkumi 30 terminal bas ekspres di seluruh negara.
“Langkah ini diambil berikutan OTA tidak mempunyai sebarang perjanjian rasmi atau terikat dengan kerajaan serta Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Keadaan itu menyebabkan pihak terminal sering dipersalahkan apabila berlaku masalah teknikal seperti pembatalan atau kelewatan bas.
“OTA ini tidak mempunyai sebarang tanggungjawab kepada pengguna selain menjual tiket. Bila bas tidak sampai atau perjalanan dibatalkan, pihak terminal yang kena tanggung dan bayar ganti rugi dulu sedangkan duit kutipan tiket itu diambil oleh OTA.
“Sebab itu kawalan inventori perlu diserahkan sepenuhnya kepada terminal, bagi mengelakkan sebarang masalah dan menyelaraskan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata, dalam pada itu, pihak pengurusan terminal juga menggesa supaya pengusaha bas mengintegrasikan sistem inventori tiket mereka secara berperingkat.
“Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, pihak terminal dengan kerjasama penyedia sistem tempatan seperti GoHub Berhad juga bakal memperkenalkan sistem navigasi jadual ketibaan bas secara ‘real-time’ menerusi aplikasi rasmi bagi memudahkan penumpang merancang perjalanan dengan lebih tepat.
“Setiap hari, di TBS, kami menerima kira-kira 18,000 pengguna bas dan 1,500 bas yang akan beroperasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




