Alanya, Turkiye: Seorang lelaki gelandangan berusia 66 tahun di Turkiye sengaja menghina Presiden Recep Tayyip Erdoğan dengan harapan dapat memperoleh makanan dan tempat tidur di penjara, menurut laporan media Turkiye.
Lelaki yang hanya dikenali sebagao RK itu ditahan di sebuah taman di Alanya, bandar peranginan di wilayah Antalya, selatan Turkiye kerana disyaki menghina presiden seperti yang dilaporkan Turkish Minute.
Seorang hakim kemudian memerintahkan lelaki itu ditangkap dan ditahan sementara menunggu perbicaraan.
“Saya tiada tempat tinggal, saya tidur di tempat pembuangan sampah. Sebab itulah saya berbuat demikian,” katanya di mahkamah yang memerintahkan dia dipenjarakan sementara menunggu perbicaraan, menurut akhbar Sözcü.
Lelaki itu dilaporkan pernah ditahan sebanyak tiga kali sebelum ini atas dakwaan sama, namun tidak berjaya mendapatkan penahanan sementara yang diharapkannya.
Perbuatan menghina presiden adalah kesalahan jenayah di Türkiye dengan undang-undang berkenaan sering digunakan untuk mendakwa pengkritik kerajaan.
Ribuan individu termasuk wartawan, remaja dan bekas pemenang pertandingan Miss Turkey pernah berdepan pendakwaan mengikut undang-undang itu.
Walaupun kesalahan berkenaan sudah termaktub dalam undang-undang Turkiye sejak beberapa dekad lalu, jumlah pendakwaan meningkat dengan ketara ketika Erdoğan memegang kuasa khususnya selepas negara itu beralih kepada sistem presiden eksekutif pada 2018.
Antara 2016 hingga akhir 2025, statistik Kementerian Kehakiman yang dipetik Agence France-Presse (AFP) menunjukkan pendakwa raya membuka hampir 83,000 kes berkaitan kesalahan di bawah Artikel 299 hingga 301 Kanun Keseksaan Turkiye.
Peruntukan itu merangkumi kesalahan menghina presiden, menghina simbol kebangsaan Turkiye serta menghina negara atau institusi kerajaan.
Di bawah Artikel 299, perbuatan menghina presiden boleh dihukum penjara antara satu hingga empat tahun. Hukuman boleh ditingkatkan jika kesalahan itu dilakukan secara terbuka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




