rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Skuad remaja kebangsaan muncul juara selepas menewaskan Pakistan 4-3 dalam penentuan penalti shoot-out apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi sebenar final Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-14 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, sebentar tadi.
Kejayaan itu mengakhiri penantian 13 tahun buat skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin untuk muncul juara selepas kali terakhir menjuarai SOJC pada 2011 manakala Pakistan terpaksa akur naib juara dan mengulangi pencapaian pada edisi 2016.
Di awal permainan Young Tigers terlepas peluang membuka tirai jaringan selepas pukulan sudut penalti G Dheeressh pada minit keempat suku pertama berjaya ditepis penjaga gol Pakistan, Intesham Muhammad.
Kubu Young Tigers terselamat daripada serang balas anak didik Sameer seminit kemudian apabila bola umpanan Waleed Rana berjaya ditampan Ghulam Mustafa namun penjaga gol, Muhammad Adib Amsyar Mohd Yusof sempat menepis.
Young Tigers bernasib baik tidak dibolosi pada minit ke-18 selepas bola pukulan sudut penalti Muhammad Shaheer terkena palang ketika Muhammad Adib Amsyar sudah tertewas.
Serangan bertali arus anak didik Sameer akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-19 di suku kedua selepas berlaku kekalutan di dalam kawasan D berpunca daripada pukulan sudut penalti dan Waleed yang tidak dikawal mudah menolak bola menewaskan Muhammad Adib Amsyar.
Kelicikan Adeel Afzal yang berjaya melepasi kawalan benteng Young Tigers bertindak bijak menyusup masuk ke kawasan D sebelum mengumpan bola kepada Muhammad Usman untuk menewaskan Muhammad Adib Amsyar sekali gus membolehkan Pakistan mendahului 2-0.
Young Tigers belajar daripada dua kesilapan yang membiarkan Pakistan mencipta gol berjaya mengurangkan deifisit jaringan pada minit ke-25 menerusi pukulan sudut penalti Mohammad Nabil Irfan Mohd Yusof ditampan Adam Asyraf Johari menewaskan Intesham.
Bersambung babak kedua pada suku ketiga, walaupun Young Tigers bertali arus dengan melakukan serangan ke kawasan D Pakistan malah turut mendapat pukulan sudut penalti pada minit ke-38 namun Dheeressh masih tidak mampu menewaskan Intesham.
Usaha berterusan anak didik Nor Saiful akhirnya menemui sentuhan penyudah hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-45 dan Dheeressh tidak menghampakan apabila menyudahkan dengan tepat menewaskan Intesham untuk mengikat kedudukan 2-2 dan mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-out.
Sementara itu, Jepun menamatkan saingan SOJC di tempat ketiga mengulangi pencapaian tahun 2016 selepsa menewaskan Kanada 5-0 hasil jarngan padang Ryosuke Shinohara pada minit keempat diikuti gol Tafsuaki Yasui di minit kesembilan.
Shinohara meneruskan aksi cemerlang selepas menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-15 dan meledak hatrik pada minit ke-55 sebelum melengkap kemenangan skuad kendalian Yoshihiro Anai selang seminit kemudian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




