Pengikut dakwa Baitussalam terjejas susulan serbuan mengejut

Pengikut dakwa Baitussalam terjejas susulan serbuan mengejut

Gombak: Pusat ibadat komuniti Qadiani yang dikenali sebagai Baitussalam yang sebelum ini aktif menganjurkan kelas pengajian agama dengan penyertaan puluhan ribu pelajar antarabangsa, kini terjejas susulan serbuan mengejut pihak berkuasa baru-baru ini.

Wakil kumpulan itu meluahkan rasa kesal apabila operasi yang dilakukan ketika jemaah sedang menunaikan solat Jumaat itu bukan saja membantutkan aktiviti pendidikan mereka, malah disifatkan sebagai keterlaluan.

Menurutnya, ketika serbuan berlaku, jemaah didakwa dikurung di dalam premis dan tidak dibenarkan keluar. Lebih menimbulkan pertikaian, beliau mendakwa kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan sengaja dialihkan arahnya, selain berlakunya insiden pemotongan wayar oleh pihak berkuasa.

“Waktu serbuan dibuat, kami dikurung dan CCTV diterbalikkan. Kami tidak tahu apa yang mereka lakukan di dalam, malah gambar-gambar operasi kemudian terus diserahkan kepada pihak media,” dakwanya ketika ditemui wartawan.

Beliau turut mempersoalkan ketelusan operasi berkenaan, terutama apabila beberapa individu yang ditahan, kemudiannya dilepaskan semula, sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung motif sebenar tangkapan.

Pada masa sama, penganut itu menegaskan pendirian kumpulan tersebut bahawa Jabatan Agama Islam tidak mempunyai bidang kuasa ke atas mereka selaras dengan keputusan mahkamah terdahulu.

Katanya, sebarang penguatkuasaan terhadap mereka sepatutnya hanya tertakluk di bawah agensi seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Mengulas mengenai peranan Baitussalam sebelum ini, beliau menjelaskan pusat ibadat di kawasan Kampung Nakhoda itu berfungsi sebagai pusat pendidikan yang menumpukan kepada kelas mengaji al-Quran dan bimbingan agama untuk kanak-kanak.

“Aktiviti itu mendapat sambutan meluas sehingga membabitkan pelajar dari Indonesia, India dan United Kingdom (UK),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top