am@hmetro.com.my
Gombak: Pengalaman berdialog dan berdebat secara bersemuka dengan pengikut ajaran Qadiani pernah dilalui oleh kariah Masjid Kampung Nakhoda suatu ketika dulu, sebelum usaha itu dihentikan sepenuhnya kerana kumpulan berkenaan didapati enggan menerima nas serta dalil agama.
Timbalan Nazir Masjid Kampung Nakhoda, Ismail Abbas berkata, perkara itu bagi menjelaskan hubungan sebenar antara pihak kariah masjid dengan penempatan premis ajaran berkenaan yang terletak berdekatan masjid mereka.
“Kalau mengikut sejarah dulu, ada sahabat-sahabat kita di sini pernah berdebat dan menyanggah pendapat dengan mereka.
“Tapi oleh kerana mereka tidak menggunakan nas dan dalil, sebaliknya hanya berpegang pada akal semata-mata, kami rasa tidak ada guna untuk dipanjangkan dialog itu kerana ia membuang masa,” katanya, semalam.
Menurutnya, berikutan kedegilan kumpulan itu, pihak masjid mengambil keputusan untuk memutuskan terus sebarang bentuk perhubungan atau dialog dengan pengikut ajaran itu dan menyerahkan sepenuhnya urusan tindakan penguatkuasaan kepada pihak berkuasa agama.
Mengulas lanjut, beliau meluahkan rasa terkejut dan kecewa apabila nama Masjid Nakhoda dikaitkan secara terus dalam laporan berita berkenaan isu ajaran Qadiani baru-baru ini.
“Kariah rasa sedih dan kecewa kerana ini satu dakwaan yang cukup berat. Seolah-olah kami terbabit atau ada unsur kebersamaan dengan ajaran yang telah pun disahkan sesat oleh JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri. Sedangkan kami langsung tidak terbabit dengan aktiviti mereka,” katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga pada masa lalu, pihak masjid pernah menyimpan senarai nama ahli kumpulan Qadiani di kawasan berkenaan bagi tujuan rujukan penduduk kampung, khususnya apabila membabitkan urusan perkahwinan.
“Dulu kalau ada orang luar nak meminang warga Kampung Nakhoda, mereka akan minta rujukan daripada masjid.
“Langkah ini diambil supaya masjid boleh bagi makluman awal dan menyelamatkan orang luar daripada terperangkap atau terjebak dengan ajaran itu tanpa disedari,” katanya.
Beliau berkata, pergerakan kumpulan berkenaan kebanyakannya berselindung dan banyak dianggotai oleh warga luar serta pendatang asing, bukannya anak tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




