BATU PAHAT: Identiti empat sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 107 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan di Yong Peng, di sini petang semalam, dikenal pasti.
Mereka adalah Ab. Shukor Athan, 68; isterinya, Mariam Ibrahim, 65, serta dua cucu pasangan itu iaitu Nur Umie Zahiyah Jumie, 5, dan Muhammad Zaharil Hakimie Jumie, setahun.
Semua mangsa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger bersama-sama ahli keluarga mereka dari arah utara menghala ke selatan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, dalam kejadian pukul 5.50 petang itu, siasatan mendapati Ford Ranger itu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler.
Beliau berkata, ketika kejadian, treler berkenaan pula sedang berhenti di lorong kecemasan setelah mengalami kerosakan enjin.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki keempat-empat mangsa berpusing sebelum dilanggar sebuah kereta Toyota Vios yang datang dari arah belakang.
“Tiga mangsa iaitu Ab. Shukor, Mariam dan Nur Umie Zahiyah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Zaharil Hakimie meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Parit Yaani, Yong Peng,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, pemandu Ford Ranger, Jumie Julong, 35, serta isterinya, Nor Hakimah Zakiah Ab. Shukor, 32, turut mengalami kecederaan parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini.
Dua lagi anak pasangan itu, Muhammad Zariff Hakimie Jumie, 2, dan Muhammad Zafrul Hakimie Jumie, 3, turut cedera dan dirawat di hospital sama, dengan seorang daripadanya ditempatkan di Zon Merah.
Pemandu Toyota Vios, Chin Nyet Boon, 46, dan ibunya, Yong Ah Moi, 81, turut mengalami kecederaan di kepala, manakala pemandu lori, Mohd. Nadzri Abd. Wahab, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat keempat-empat mangsa dibawa ke Unit Perubatan Forensik HSNI untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN




