am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini melepas dan membebaskan seorang pemuda daripada tiga pertuduhan melakukan amang seksual dan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, tiga tahun lalu.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berikutan keterangan mangsa tidak konsisten dan meragukan.
Beliau berkata, antara perkara utama keraguan adalah percanggahan tarikh kejadian dalam laporan polis, laporan perubatan dan rakaman percakapan mangsa, selain keterangan saksi yang gagal menyokong dakwaan berkenaan.
Mahkamah turut mengambil kira percanggahan keterangan saksi berhubung kejadian yang didakwa berlaku di dalam sebuah kereta serta kelewatan mangsa membuat laporan polis.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh, Muhammad Nuriman Nabil Mohd Hisham, 22, dilepas dan dibebaskan daripada kesemua pertuduhan tanpa dipanggil membela diri.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan tertuduh sebanyak RM12,000 dikembalikan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 12 tahun 11 bulan dalam sebuah kereta di kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat, di sini, antara 8 hingga 8.30 malam pada 28 Jun 2023.
Bagi pertuduhan pindaan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal di lokasi dan waktu yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman, manakala tertuduh diwakili Che Amir Che Musa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




