am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Pelajar Tingkatan Enam bakal menerima Elaun Sara Hidup berjumlah keseluruhan RM2,500 sepanjang tempoh pengajian bermula tahun depan.
Pelajar akan menikmati bayaran lebih RM800 setiap semester sebagai langkah kerajaan memperkukuh sokongan terhadap pendidikan prau universiti.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, berkata pemberian elaun itu akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran pelajar Tingkatan Enam selesai dan bantuan berkenaan akan disalurkan pada semester pertama pengajian mereka.
Beliau berkata, elaun itu adalah sebahagian daripada Belanjawan yang diumumkan bagi tahun 2027 dengan setiap pelajar akan menerima keseluruhan RM2,500 yang dibayar secara berperingkat sepanjang tempoh pengajian selama tiga semester.
“Ia (elaun pelajar Tingkatan Enam) akan bermula tahun depan kerana ini adalah Belanjawan 2027. Sebaik sahaja pendaftaran semua pelajar Tingkatan Enam selesai, kita akan sampaikan bantuan itu pada semester pertama mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia di Taman Widuri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, kerajaan melihat pemberian elaun itu sebagai langkah penting untuk memastikan pelajar Tingkatan Enam mendapat sokongan sewajarnya dari aspek pembelajaran.
Katanya, bantuan itu juga diharap dapat membantu meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam khususnya dalam memperkukuh pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
“Kita sangat gembira dengan pengumuman bajet ini kerana inilah antara hasrat kita untuk melihat bagaimana (pelajar) Tingkatan Enam mendapat sokongan dari aspek pembelajaran dan meningkatkan kualiti STPM,” katanya.
Terdahulu, kerajaan bersetuju memberikan Elaun Sara Hidup bernilai RM2,500 seorang yang memberi manfaat kepada seramai 90,000 pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara menerusi Belanjawan 2027.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata, pemberian itu bagi memastikan kebajikan pelajar prau universiti terus terbela.
Katanya, kadar baharu elaun berkenaan menyamai kadar yang diterima oleh pelajar matrikulasi, sekali gus memperkasa serta memberikan kesaksamaan bantuan kewangan kepada pelajar Tingkatan Enam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




