SHAH ALAM – Pengumuman terbuka Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa beliau akan turun ke Melaka untuk memberi bantuan RM1,000 kepada pemandu teksi di negeri berkenaan menarik perhatian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Muhamad Akmal yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad memberi reaksi sinis terhadap kenyataan yang dibuat Setiausaha Agung DAP itu.
“Rezeki pemandu teksi Melaka. Mohon untuk luluskan lebih banyak lagi peruntukan menjelang PRN Melaka ini.
“Dulu cakap tak boleh, hari ni semua boleh. Tahniah Madani,” katanya.
Anthony ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Melaka di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Sabtu memaklumkan beliau akan turun sekali lagi ke Melaka pada Isnin.
“Seperti yang baru-baru kita buat, hasil daripada jualan nombor pendaftaran H sebanyak RM91 juta, kita bagi balik terus kepada pemandu teksi (yang layak) RM1,000 seorang.
“Untuk pemandu teksi di Melaka, tolong ambil perhatian. Saya akan turun pagi Isnin ini (esok), kita bagi terus RM1,000 kepada setiap pemandu teksi,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober lalu mengumumkan pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah akan menerima bantuan kewangan ‘one-off’ RM1,000 susulan hasil jualan siri nombor plat khas ‘H’.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumpul RM91.2 juta menerusi siri ‘H’ yang dilelong secara dalam talian bermula 16 hingga 20 September lalu sempena sambutan Hari Malaysia.



