Pengajaran buat Liyana Jasmay, usah berdegil

Pengajaran buat Liyana Jasmay, usah berdegil

Nampaknya, isu filem Pemuja Syaitan arahan dan terbitan Liyana Jasmay masih belum habis diperkatakan. Kali ini, Cik Bunga ingin menyentuh beberapa persoalan yang timbul dalam kalangan penonton, khususnya berkaitan kualiti teknikal filem berkenaan dan sejauh mana pandangan orang lain diambil kira sepanjang proses pembikinannya.

Dengar cerita, ada cakap-cakap di belakang yang mendakwa Liyana seolah-olah kurang terbuka menerima pandangan orang lain sebelum menghasilkan filem tersebut. Kononnya, lebih selesa mengikut kehendak sendiri. Betulkah begitu?

Cik Bunga sendiri tidak berani mengiyakan dakwaan sedemikian kerana perkara itu perlu diperjelaskan oleh pihak yang terlibat. Namun, apabila cerita seperti ini mula berlegar, tentulah timbul tanda tanya. Apatah lagi, barisan produksi yang terlibat dalam pembikinan filem ini bukannya calang-calang orang. Ramai juga yang mempunyai pengalaman dalam industri perfileman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jadi, jika pasukan produksi terdiri daripada individu berpengalaman, mengapa masih timbul persoalan mengenai aspek teknikal filem berkenaan? Bukankah pengalaman dan kepakaran setiap individu sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan hasil akhir menepati standard yang diharapkan?

Cik Bunga bukanlah mahu menuding jari kepada sesiapa. Sebaliknya, perkara ini wajar diperhalusi kerana sesebuah filem bukan hasil usaha seorang individu semata-mata. Ia memerlukan kerjasama erat antara pengarah, penerbit, kru teknikal dan seluruh pasukan produksi. Jika ada kekurangan, eloklah dinilai secara profesional supaya perkara sama dapat diperbaiki pada masa akan datang.

Lebih menarik perhatian Cik Bunga apabila ada penonton yang mendakwa mereka masih tidak melihat perubahan ketara selepas menonton filem itu buat kali kedua. Difahamkan, individu berkenaan sanggup membeli tiket menggunakan wang sendiri untuk kembali menonton Pemuja Syaitan, namun merasakan kualiti filem tersebut masih sama seperti sebelumnya.

Kalau benar begitu pengalaman penonton berkenaan, persoalannya, apakah aspek yang sebenarnya ditambah baik atau dipertingkatkan oleh Liyana selepas tayangan pertama?Adakah perubahan yang dilakukan lebih tertumpu pada aspek teknikal tertentu, atau mungkin ada penambahbaikan yang tidak begitu ketara kepada penonton biasa? Perkara ini tentu memerlukan penjelasan lebih terperinci daripada pihak produksi kerana tanpa maklumat yang sahih.

Satu lagi perkara yang kurang disenangi Cik Bunga adalah apabila timbul tanggapan kononnya Liyana menghasilkan filem itu secara syok sendiri. Aduhai, dalam soal ini, Cik Bunga rasa kita perlu berhati-hati memilih perkataan.

Mengkritik hasil karya itu satu perkara, tetapi melabel usaha seseorang sebagai syok sendiri tanpa memahami keseluruhan proses pembikinannya adalah perkara lain. Namun, pada masa sama, status seseorang sebagai pengarah dan penerbit juga tidak bermakna hasil kerjanya harus terlepas daripada kritikan.

Tambahan pula, pembikinan Pemuja Syaitan dikaitkan dengan pembiayaan melalui Dana Co-Pro di bawah skim Dana Kandungan Kreatif (DKK), yang dikendalikan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta Kementerian Komunikasi Malaysia.

Apabila sesebuah projek melibatkan dana yang disalurkan melalui skim sokongan industri kreatif, soal tanggungjawab, mutu hasil karya dan penggunaan sumber sememangnya perlu diberikan perhatian sewajarnya. Segala aspek, termasuk kualiti teknikal, perancangan produksi dan proses penambahbaikan, perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Cik Bunga percaya Liyana sebagai individu yang sudah lama berkecimpung dalam dunia seni tentu memahami bahawa perjalanan sebagai pengarah dan penerbit bukan mudah. Setiap karya mempunyai cabaran tersendiri, dan tidak semua keputusan kreatif akan diterima oleh setiap penonton.

Namun, dalam industri yang semakin kompetitif, kesediaan mendengar pandangan, menerima teguran dan menilai kelemahan sendiri merupakan sebahagian daripada proses untuk berkembang. Tidak semestinya semua kritikan perlu dituruti, tetapi setiap maklum balas yang berasas wajar dipertimbangkan.

Jika ada kekurangan, akuilah dan perbaikilah. Jika ada salah faham, berikan penjelasan supaya orang ramai tidak terus membuat andaian sendiri.

Scroll to Top