Bersatu ada hati lagi ke dengan PN? – Ahmad Samsuri

Bersatu ada hati lagi ke dengan PN? – Ahmad Samsuri

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mempersoalkan sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih mahu meneruskan kerjasama dalam gabungan itu susulan perkembangan politik sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu.

“Dengan apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini, sejak PRN Negeri Sembilan, ada hati lagi ke Bersatu dengan Perikatan Nasional ini?” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Mengulas mengenai mesyuarat PN yang dijadualkan berlangsung malam ini, Ahmad Samsuri berkata, jumlah wakil yang dihantar oleh Bersatu bergantung kepada keputusan parti itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau cukup satu untuk hantar wakil pun tak apa. Terpulang pada dia,” katanya.

Sebelum ini, Pas mendakwa Bersatu menjadi punca gabungan parti politik PN yang turut dianggotai kedua-dua buah parti itu dibatalkan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Bersatu sentiasa bersikap tikam belakang dan tidak menolak kemungkinan pimpinan Bersatu mempunyai hubungan baik dengan RoS selain dengan pimpinan kerajaan sekarang menyebabkan jabatan berkenaan memihak kepada mereka.-UTUSAN

Scroll to Top