Kes bunuh Norhazwani: Ahli keluarga dijangka hadiri prosiding pendakwaan di mahkamah Seremban, pagi esok

Kes bunuh Norhazwani: Ahli keluarga dijangka hadiri prosiding pendakwaan di mahkamah Seremban, pagi esok

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Ahli keluarga pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Allahyarham Norhazwani Ibrahim, berkemungkinan hadir di mahkamah esok, apabila suspek didakwa atas tuduhan membunuh wanita itu.

Abang sulung mangsa, Amran Ibrahim, 59, berkata, dia bersama seorang lagi ahli keluarga mungkin menghadiri prosiding berkenaan di Mahkamah Majistret Seremban.

“Insya-Allah, sebagai abang sulung, saya akan mewakili keluarga untuk menghadiri prosiding mahkamah esok,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Amran yang menetap di Gombak berkata, adik-beradik Norhazwani serta ahli keluarga lain tinggal di Kelantan, termasuk dua anak perempuan mangsa, dan tidak akan menghadiri prosiding itu.

Bapa kepada dua anak yang bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah institut memandu di Gombak itu berkata, keluarganya tidak sabar untuk mengikuti prosiding mahkamah berkenaan.

“Saya mendapat tahu suspek akan didakwa di mahkamah esok selepas dimaklumkan oleh adik lelaki saya. Saya juga membaca mengenai suspek akan didakwa esok di media sosial,” katanya.

Suspek dijadualkan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Seremban pada 9 pagi esok.

Norhazwani, 35, ditemukan meninggal dunia di kuarters kerajaan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai, pada 15 Oktober lalu.

Suami kepada suspek, berusia 30-an, kemudian menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang, Selangor.

Bedah siasat mendapati Norhazwani meninggal dunia akibat tekanan pada leher, selain terdapat kesan tikaman pada bahagian abdomen dan pipi kanannya.

Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan berusia lima dan enam tahun yang kini berada di bawah jagaan ahli keluarga di Kelantan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top