PN sah guna lambang sendiri di PRN Melaka

PN sah guna lambang sendiri di PRN Melaka

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan menggunakan logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 akan datang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pembahagian kerusi dan penentuan calon akan diputuskan menerusi beberapa siri mesyuarat yang akan diadakan.

“Oleh kerana Perikatan Nasional sudah kembali, kita mengumumkan kita akan menggunakan logo Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri Negeri Melaka, Insya-Allah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berapa kerusi dan berapa calon itu kita akan tentukan kerana kita akan mengadakan beberapa mesyuarat untuk kita muktamad.

“Jadi untuk itu saya tak boleh cakap sebab belum putuskan lagi kerusi mana, calon parti mana di kalangan kami itu belum putuskan lagi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Mengulas mengenai pertukaran kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan PN, beliau berkata, pihaknya menerima perubahan itu berdasarkan perbincangan yang telah diadakan bersama.

Katanya, pertukaran itu tidak menjadi masalah sekiranya melibatkan kerusi yang mempunyai kedudukan kemenangan setara.

“Pertukaran itu, A kepada A, menang kepada menang. Kalau hendak tukar parti, kerusi kita menang dengan kerusi yang dia kalah, tidak berlakulah,” katanya.

Beliau berkata, pertukaran itu membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dengan DUN Paya Rumput.

“Jadi, apabila kita fikir, mungkin tidak ada masalah sangatlah. Kita terimalah,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top