United makin parah, Carrick tertekan

United makin parah, Carrick tertekan

Manchester: Krisis Manchester United semakin meruncing apabila tewas 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford, sebentar tadi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan pengurus, Michael Carrick.

Kekalahan itu menyaksikan United meneruskan rekod tanpa kemenangan kepada lapan perlawanan dan kini menghuni tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya satu mata di atas zon penyingkiran.

Bournemouth yang dibimbing Marco Rose mempamerkan aksi cemerlang apabila menjaringkan tiga gol menerusi Rayan, Marcus Tavernier dan Evanilson untuk melakar kemenangan bergaya di gelanggang lawan.

Lebih mengecewakan buat penyokong tuan rumah, Bournemouth mencatat kemenangan 3-0 di Old Trafford buat kali ketiga dalam tempoh empat musim.

Keputusan berani Carrick menggugurkan kapten pasukan, Bruno Fernandes daripada kesebelasan utama turut mengundang perhatian apabila United gagal memberikan tentangan bermakna sepanjang perlawanan.

Fernandes sebelum ini mengkritik pendekatan taktikal Carrick selepas United dibelasah 1-4 oleh Como yang membuat penampilan sulung dalam Liga Juara-Juara.

Carrick menegaskan keputusannya merehatkan pemain terbaik EPL musim lalu itu dibuat atas pertimbangan bola sepak semata-mata, namun Fernandes kekal di bangku simpanan sepanjang perlawanan.

Tekanan terhadap Carrick semakin memuncak apabila penyokong Bournemouth melaungkan ejekan yang mendesaknya dipecat.

Bagaimanapun, kekalahan itu turut menimbulkan persoalan lebih besar mengenai masalah berpanjangan United sejak persaraan bekas pengurus legenda, Alex Ferguson, 13 tahun lalu.

Carrick sebelum ini membantu United menamatkan musim lalu di tangga ketiga ketika bertugas sebagai pengurus interim, namun kejayaan itu turut dibantu ketiadaan komitmen dalam saingan Eropah dan kejohanan piala domestik.

Musim ini, United hanya mencatat dua kemenangan daripada 12 perlawanan dalam semua pertandingan, termasuk ketika menentang Ipswich dan Sabah dari Azerbaijan.

Bournemouth pula hadir dengan keyakinan selepas menewaskan AC Milan 3-0, tiga hari sebelum kunjungan ke Old Trafford.

Pelawat membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi Rayan yang menyudahkan sepakan percuma Justin Kluivert dengan rembatan kemas.

Lima minit kemudian, kesilapan pertahanan United, Leny Yoro yang gagal mengawal tekanan Adrien Truffert membuka ruang kepada Tavernier untuk menyudahkan hantaran lintang ke gawang yang tidak dikawal.

United berharap Fernandes dapat dimasukkan pada babak kedua untuk mengubah rentak permainan, namun pemain tengah Portugal itu terus dibiarkan di bangku simpanan.

Bournemouth hampir menambah jaringan sejurus selepas rehat apabila Evanilson merobek gawang, namun gol itu dibatalkan kerana ofsaid.

Penjaga gol United, Senne Lammens kemudian menafikan percubaan Rayan sebelum pemain sayap Brazil itu sekali lagi gagal menemui sasaran selepas melepasi Lisandro Martinez.

Evanilson akhirnya melengkapkan kemenangan pelawat pada minit ke-70 apabila memperdaya Lammens sebelum melakukan penyudah menarik dari sudut sempit.

Penyokong United kemudian melepaskan kemarahan terhadap pemilik kelab, keluarga Glazer ketika perlawanan menghampiri penghujung, manakala Carrick dilihat bertepuk tangan ke arah penyokong di Stretford End sebelum menuju ke terowong pemain.

Namun, selepas satu lagi petang mengecewakan buat juara England 20 kali itu, Carrick berdepan tekanan besar ketika masa depannya di Old Trafford terus menjadi tanda tanya.

Sementara itu, Brentford dan Hull City terikat 1-1 dengan tuan rumah membuka jaringan menerusi penalti Oli McBurnie pada minit ke-24.

Gol penyamaan pelawat hadir pada minit ke-63 melalui Dango Ouattara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top