MANCHESTER: Krisis Manchester United semakin meruncing apabila dibelasah 0-3 oleh Bournemouth di Old Trafford, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengurus, Michael Carrick.
Kekalahan memalukan itu menyaksikan United terus bergelut mencari kemenangan apabila rekod tanpa kemenangan mereka berlanjutan kepada lapan perlawanan, selain kini hanya satu mata dipisahkan daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Lebih menyakitkan, Bournemouth mencatat kemenangan 3-0 di Old Trafford buat kali ketiga dalam tempoh empat musim, sekali gus mendedahkan betapa rapuhnya benteng pertahanan tuan rumah.
Memuatkan artikel berkaitan…
Bournemouth kendalian Marco Rose memanfaatkan kelemahan United menerusi jaringan Rayan pada minit ke-38, Marcus Tavernier lima minit kemudian sebelum Evanilson melengkapkan pesta gol pelawat pada minit ke-70.
Keputusan Carrick mengetepikan kapten pasukan, Bruno Fernandes daripada kesebelasan utama turut mencetuskan persoalan, terutama selepas pemain tengah Portugal itu sebelum ini mengkritik pendekatan taktikal pengurus berkenaan.
Fernandes yang kekal di bangku simpanan sepanjang perlawanan gagal menjadi penyelamat ketika United buntu mencari jalan untuk merobek pertahanan pelawat, sekali gus menambah tekanan terhadap Carrick yang kini berdepan desakan penyokong.
Bournemouth membuka jaringan menerusi rembatan kemas Rayan selepas menerima sepakan percuma Justin Kluivert sebelum kesilapan Leny Yoro membolehkan Tavernier menyudahkan hantaran lintang ke gawang yang tidak dikawal.
United cuba bangkit selepas rehat, namun jaringan Evanilson dibatalkan kerana ofsaid sebelum penjaga gol Senne Lammens dipaksa bekerja keras menafikan percubaan Rayan.
Harapan tuan rumah untuk menyelamatkan maruah akhirnya berkecai apabila Evanilson memperdaya Lammens sebelum melakukan penyudah dari sudut sempit untuk gol ketiga Bournemouth.
Ketika perlawanan menghampiri penghujung, kemarahan penyokong United turut terarah kepada keluarga Glazer selaku pemilik kelab, manakala Carrick dilihat bertepuk tangan ke arah penyokong di Stretford End sebelum menuju ke terowong pemain.
Walaupun Carrick pernah membantu United menamatkan musim lalu di tangga ketiga ketika menggalas tugas sebagai pengurus interim, prestasi semasa yang mengecewakan kembali membangkitkan persoalan mengenai keupayaannya mengembalikan kegemilangan kelab itu.
Dengan prestasi yang terus merudum dan kedudukan liga semakin membimbangkan, Carrick kini berdepan ujian terbesar dalam usahanya mempertahankan kedudukan di Old Trafford, ketika krisis United terus berpanjangan sejak era Sir Alex Ferguson berakhir.




