Lagi kes seludup kokain dari Pulau Pinang, lelaki China ditahan di Hong Kong

Lagi kes seludup kokain dari Pulau Pinang, lelaki China ditahan di Hong Kong

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga China ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong hari ini selepas pemeriksaan kastam menemukan 2.2 kilogram (kg) bahan disyaki kokain dalam bagasi kabinnya.

Ini tangkapan kedua membabitkan kes penyeludupan dadah dari Pulau Pinang ke Hong Kong selepas seorang lelaki warga China berusia 25 tahun turut ditahan pada Khamis lalu.

Jabatan Kastam Hong Kong dalam kenyataan hari ini memaklumkan, dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai HK$1.3 juta (kira-kira RM700,000) mengikut harga pasaran.

Menurut kenyataan itu, suspek berusia 39 tahun berkenaan tiba di Hong Kong dari Pulau Pinang, sebelum ditahan ketika pemeriksaan kastam dijalankan di lapangan terbang berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap bagasi kabin yang dibawanya menemukan sejumlah bahan disyaki kokain, sekali gus membawa kepada penahanan lelaki terbabit.

“Suspek kemudian didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya dan kes itu dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kowloon Barat esok,” menurut kenyataan itu.

Jabatan berkenaan berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah menerusi perkongsian maklumat, risikan dan pendekatan penguatkuasaan berasaskan penilaian risiko.

Pendekatan itu termasuk memberi tumpuan kepada pemeriksaan penumpang yang tiba dari kawasan berisiko tinggi bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah rentas sempadan.

Dalam pada itu, Jabatan Kastam Hong Kong mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah demi mendapatkan ganjaran kewangan, termasuk menerima upah atau arahan pihak lain untuk membawa barangan terkawal masuk atau keluar dari Hong Kong.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membawa barangan yang tidak diketahui kandungannya bagi pihak orang lain bagi mengelakkan diri daripada terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah.

Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah berbahaya boleh membawa hukuman maksimum denda HK$5 juta dan penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top