BNM dijangka naikkan OPR kepada 3.00%

BNM dijangka naikkan  OPR kepada 3.00%

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: CIMB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada Mac 2027, berbanding unjuran terdahulu yang menyaksikan kadar itu kekal pada 2.75 peratus sehingga suku ketiga tahun depan.

Unjuran baharu itu mengambil kira jangkaan peningkatan inflasi teras kepada sekitar 2.5 peratus pada suku ketiga 2027, sekali gus mengukuhkan alasan BNM menarik balik pengurangan kadar faedah dilaksanakan pada Julai 2025 sebelum tekanan harga menjadi lebih ketara.

Menurut laporan penyelidikan ekonomi CIMB Treasury and Markets Research, kenaikan OPR yang dijangkakan itu bersifat langkah awal bagi menangani potensi tekanan inflasi, meskipun kadar inflasi semasa terkawal.

Ahli Ekonominya, Chew Khai Yen dan Ketua Penyelidikan, Michelle Chia berkata, peningkatan perbelanjaan isi rumah yang dijangka berlaku pada separuh kedua 2027 berpotensi mengukuhkan permintaan domestik, sekali gus memberi lebih ruang kepada perniagaan memindahkan kenaikan kos operasi kepada pengguna.

Laporan itu menjelaskan langkah menaikkan OPR pada Mac 2027 akan membolehkan BNM bertindak lebih awal terhadap tekanan inflasi yang dijangka meningkat pada separuh kedua tahun berkenaan, dan bukannya menunggu sehingga inflasi teras mencapai paras tertingginya.

Bagaimanapun, CIMB berpandangan tekanan inflasi yang masih terkawal dalam tempoh terdekat memberi ruang kepada BNM untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuarat dasar monetari November ini.

Inflasi keseluruhan Malaysia pada September lalu menyederhana kepada 1.8 peratus tahun ke tahun, manakala inflasi teras kekal pada 1.7 peratus, sekali gus menyokong jangkaan bahawa kadar faedah tidak akan berubah dalam tempoh terdekat.

Namun, harga teras meningkat sebanyak 0.3 peratus secara bulanan pada Ogos dan September, dengan momentum inflasi teras bagi tempoh tiga bulan meningkat kepada sekitar 2.4 peratus pada kadar tahunan pada September.

CIMB berkata, meskipun perkembangan itu menunjukkan risiko peningkatan inflasi, petunjuk pemantauan yang digunakan pihaknya masih belum menunjukkan tekanan harga yang berterusan secara meluas.

Bagi 2027, firma penyelidikan itu mengunjurkan inflasi teras meningkat daripada sekitar 2.0 peratus pada suku pertama kepada 2.5 peratus pada suku ketiga, sebelum menyederhana kepada 2.4 peratus pada suku terakhir tahun berkenaan.

Dalam pada itu, langkah diumumkan menerusi Belanjawan 2027 dijangka menyediakan tambahan pendapatan dan sokongan kepada isi rumah berjumlah RM11.5 bilion tahun depan, dengan hampir separuh daripadanya disumbangkan oleh langkah berkaitan gaji.

Antara langkah itu termasuk kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027, pelaksanaan kadar gaji permulaan baharu bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, selain pelarasan gaji dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

CIMB menganggarkan langkah berkaitan gaji itu berpotensi meningkatkan pendapatan pekerja sebanyak RM5.35 bilion pada 2027, manakala selebihnya disumbangkan oleh bantuan kewangan, pindahan tunai dan penjimatan cukai pendapatan individu.

Peningkatan pendapatan serta sokongan itu dianggarkan mampu menjana tambahan perbelanjaan penggunaan sebanyak RM8.4 bilion pada 2027, dengan kira-kira empat perlima daripada peningkatan itu tertumpu pada separuh kedua tahun berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top