Belanja sebulan cecah RM902.70

Belanja sebulan cecah RM902.70

hazwanfaisal@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Perbelanjaan makan di luar menjadi penyumbang utama kepada peningkatan keseluruhan perbelanjaan isi rumah di Malaysia antara 2022 hingga 2024, dengan purata perbelanjaan bulanan bagi kategori itu mencecah RM902.70, mengatasi perbelanjaan makanan yang disediakan di rumah.

Perkembangan itu menyaksikan perbelanjaan makan di luar meningkat sebanyak RM78.20 dalam tempoh dua tahun berkenaan, lebih tinggi berbanding pertambahan RM61.70 bagi perbelanjaan perumahan, menurut laporan terbaharu Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Laporan From Income to Wellbeing: The State of Households 2026 itu menunjukkan perbelanjaan makan di luar merangkumi 16.2 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah pada 2024, berbanding 15.7 peratus atau RM875.80 sebulan bagi makanan di rumah.

Pada masa sama, perbelanjaan makanan di rumah mencatatkan penurunan daripada segi nilai sebenar pada 2024, sekali gus memperlihatkan perubahan dalam komposisi perbelanjaan makanan isi rumah negara.

Menurut KRI, peningkatan perbelanjaan makan di luar bukan fenomena baharu, sebaliknya sudah dapat dikesan sekurang-kurangnya sejak Kajian Perbelanjaan Isi Rumah (HES) 1992, dipengaruhi beberapa faktor termasuk pembandaran, pertumbuhan pendapatan dan perubahan gaya hidup masyarakat.

Jelasnya, proses pembandaran memperluas ketersediaan dan kepelbagaian pilihan makanan, khususnya menerusi pertumbuhan premis makanan moden termasuk restoran makanan segera, manakala peningkatan pendapatan turut menyokong permintaan terhadap pilihan makanan yang lebih pelbagai.

Selain itu, peningkatan penyertaan tenaga buruh menyumbang kepada kekangan masa, khususnya dalam kalangan wanita, sekali gus mengehadkan masa yang tersedia untuk menyediakan dan menikmati makanan di rumah.

Keadaan itu turut berkait dengan kehidupan isi rumah di kawasan bandar yang berdepan tempoh perjalanan lebih panjang akibat kesesakan lalu lintas, selain aktiviti makan di luar yang semakin menjadi sebahagian daripada urusan pekerjaan, pertemuan sosial dan sambutan tertentu.

Bagaimanapun, KRI turut membangkitkan kebimbangan terhadap kemungkinan implikasi kesihatan awam susulan peningkatan amalan makan di luar, yang dikaitkan dalam penyelidikan terdahulu dengan pengambilan tenaga lebih tinggi dan kualiti pemakanan yang kurang baik.

Menurut laporan itu, corak pemakanan kurang sihat termasuk pengambilan makanan diproses, makanan segera, minuman bergula dan snek yang lebih tinggi selain pengambilan sayur-sayuran yang rendah boleh meningkatkan risiko obesiti serta penyakit tidak berjangkit (NCD).

Daripada segi komposisi perbelanjaan keseluruhan, perumahan dan utiliti kekal sebagai kategori terbesar dengan purata RM1,307 sebulan atau 23.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan isi rumah pada 2024.

Sementara itu, perbelanjaan pengangkutan yang menjadi kategori keempat terbesar hanya meningkat RM1.90 antara 2022 hingga 2024, manakala perbelanjaan komunikasi mencatatkan penurunan kecil dalam tempoh sama.

Laporan itu turut menunjukkan isi rumah dalam kelompok 10 peratus berpendapatan terendah memperuntukkan bahagian perbelanjaan lebih besar untuk keperluan asas, termasuk 29.3 peratus bagi perumahan dan utiliti serta 24.7 peratus untuk makanan di rumah, berbanding purata nasional masing-masing 23.5 peratus dan 15.7 peratus.

Bagi kumpulan berkenaan, perbelanjaan makan di luar hanya merangkumi 13.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mereka, lebih rendah berbanding purata nasional 16.2 peratus, sekali gus menunjukkan perbezaan corak perbelanjaan mengikut kedudukan pendapatan isi rumah.

Secara keseluruhan, laporan KRI itu turut mendapati median perbelanjaan isi rumah meningkat kepada RM4,758 sebulan pada 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 5.3 peratus antara 2022 hingga 2024 dari segi nilai nominal, berbanding 5.0 peratus bagi tempoh 2019 hingga 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top