hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly yang meninggal dunia ketika berada dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, meluahkan rasa lega dan terharu susulan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kakak sulung mangsa, Noorlien Zulkefly, 49, berkata, mereka berbesar hati apabila Perdana Menteri sendiri memberi perhatian terhadap kes berkenaan dengan mengarahkan siasatan penuh, telus dan tanpa kompromi.
“Kami sangat berbesar hati, takkanlah kita rakyat biasa ini PM nak sebut nama kita sekeluarga, nama arwah.
“Sebab itu pihak keluarga terus pergi serahkan memorandum ke kediaman beliau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kelmarin, Perdana Menteri menegaskan beliau sudah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail untuk mendapatkan laporan lanjut dan mahu siasatan telus dijalankan segera berhubung kematian Noorizwan.
Dalam hantaran di Facebook kelmarin, Anwar berkata, beliau mengambil maklum berhubung kehadiran ahli keluarga Allahyarham menyerahkan surat rayuan kepada beliau hari ini.
Menurut Noorlien, tindakan segera keluarga membawa perkara itu terus kepada Perdana Menteri dilakukan demi menuntut keadilan, memandangkan mereka berasa proses terdahulu seolah-olah diputarbelitkan walaupun waris sudah hadir bersama pegawai atasan Bukit Aman dan doktor ketika proses bedah siasat.
Dia turut lega selepas mendengar kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, yang mendedahkan wujudnya kecederaan luar biasa pada mayat mangsa.
“Pagi ini, bila dengar Ketua Polis Negara cakap ada kecederaan luar biasa, beliau sendiri yang sebut, bukan pegawai bawah. Jadi kita nampak ada perkembangan baharu,” katanya.
Bagaimanapun, Noorlien memaklumkan sehingga kini pihak polis masih belum menghubungi keluarga secara rasmi mengenai perkembangan siasatan terkini, walaupun Perdana Menteri sebelum ini menegaskan sebarang perkembangan akan dimaklumkan secara berkala kepada pihak keluarga mangsa.
Mengulas lanjut, Noorlien menegaskan apa yang dituntut pihak keluarga dan masyarakat ketika ini hanyalah keadilan dan ketelusan tanpa sebarang cubaan menutup fakta.
“Sekarang ini kita bukan nak apa-apa, rakyat nak satu saja, nak tangkapan, pendakwaan dan kes berjalan hingga naik mahkamah. Kita nak tengok siapa pelakunya,” katanya.
Dia turut menyatakan hasrat untuk mengadakan kunjungan hormat bagi bertemu sendiri dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi menyampaikan penghargaan atas campur tangan beliau dalam kes berkenaan.
Sebelum ini, Noorizwan, 42, ditahan anggota IPD Cheras pada 19 September lalu untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 457 dan 379 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, lelaki itu dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz di Cheras pada 30 September lalu untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.52 pagi keesokan harinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




