TLDM, TUDM laksana rondaan pastikan Selat Melaka kekal selamat

TLDM, TUDM laksana rondaan pastikan Selat Melaka kekal selamat

farahmarshita@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan pengawasan, rondaan dan kesiapsiagaan secara berterusan bagi memastikan Selat Melaka kekal selamat dan terbuka.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, pendekatan kementerian adalah memastikan kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap sewajarnya, selaras dengan perkembangan keselamatan semasa.

Menurutnya, bagi usaha di peringkat serantau, Malaysia turut memperkukuh pengawasan Selat Melaka bersama Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Usaha melalui pengawasan, perkongsian maklumat, kerjasama serantau dan diplomasi akan terus diperkukuh bagi memastikan Selat Melaka kekal selamat, stabil dan terbuka demi menjamin kepentingan negara dan kelancaran perdagangan antarabangsa,” katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) yang meminta menyatakan tahap kesiapsiagaan strategik Malaysia menghadapi kemungkinan Selat Melaka menjadi titik panas geopolitik dan mengalami gangguan maritim seperti berlaku di Selat Hormuz.

Adly turut menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN- Tanah Merah) berhubung langkah strategik Kementerian Pertahanan bagi memastikan tahap kesiagaan, keupayaan tempur dan kepekaan doktrin sentiasa berada pada tahap tertinggi dalam mendepani ancaman keselamatan serantau walaupun tanpa pembabitan aktif di medan konflik luar negara.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai kertas putih pertahanan yang menggariskan cabaran yang bakal dihadapi di peringkat serantau dan global yang mana kertas putih itu disemak semula setiap lima tahun.

“Lima tahun lalu, kita sudah merangka kertas putih pertahanan, tapi ketika itu pertahanan terkait siber belum banyak diperkatakan. Ini kita masukkan dalam penilaian semula kertas putih pertahanan.

“Kementerian turut mempunyai perancangan pertahanan membabitkan laut, darat dan udara sehingga 2050, termasuk perolehan aset serta domain pertahanan siber,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top