am@hmetro.com.my
Seremban: “Saya minta ahli keluarga bersabar dan tidak cari gaduh dengan keluarga adik ipar. Biar polis buat kerja dan kes diselesaikan dengan undang-undang,” kata Amran Ibrahim.
Amran, 59, abang kepada pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang didakwa dibunuh suaminya di sebuah unit dekat Kompleks Perumahan Penjawat Awam KLIA, 15 Oktober lalu.
Menurutnya, kejadian itu sudah pun berlaku dan sebarang kemarahan atau pergaduhan tidak akan mengembalikan nyawa adik bongsunya itu.
“Alhamdulillah, semuanya urusan di Kelantan berjalan lancar. Saya minta adik lelaki dan ahli keluarga lain supaya bersabar serta menerima kejadian ini.
“Tidak perlu bergaduh. Jika gaduh sekali pun, adik kami tidak akan hidup kembali. Kita serahkan kepada pihak mahkamah untuk tentukan hukuman terhadap adik ipar,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, adik iparnya yang didakwa membunuh Norhazwani Ibrahim, 35, tiba di Kompleks Mahkamah Seremban, di sini, pada 9.20 pagi.
Lelaki itu dibawa menggunakan kenderaan polis sambil diiringi beberapa pegawai dan anggota agensi itu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret, di sini, kerana membunuh isterinya.
Amran hadir bersama isterinya mewakili ahli keluarga yang lain di mahkamah untuk mengikuti perkembangan pendakwaan kes berkenaan.
Menurutnya, dia dihubungi adiknya yang tinggal di Kelantan pada malam tadi dan memaklumkan lelaki berkenaan dituduh di mahkamah hari ini.
“Saya sebenarnya tidak biasa dengan proses mahkamah. Apabila adik lelaki beritahu polis akan tuduh adik ipar, saya datang dari Batu Caves, Selangor bersama isteri untuk ikuti kes ini,” katanya.
Ditanya sama ada keluarga besannya itu ada berjumpa dengan pihak keluarganya, Amran berkata, setakat ini dia belum menerima apa-apa berita mengenai sebarang perjumpaan keluarga.
“Jika diikutkan, kampung kami di Kelantan sebelah menyebelah sahaja. Tetapi bagi saya, elok juga tidak berjumpa buat masa ini kerana keadaan masih tegang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




