Pelabur sedia biayai KXP, kelulusan NASP masih tertangguh – Sanusi

Pelabur sedia biayai KXP, kelulusan NASP masih tertangguh – Sanusi

nurul_husna@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan digesa tidak terus melengahkan kelulusan Lesen Aerodrome dan Pelan Strategik Aeroangkasa Negara (NASP) bagi membolehkan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bawah projek Pihak Berkuasa Koridor Syarikat Penerbangan Kedah (KSP), dimulakan segera.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jika Kerajaan Persekutuan terus menahan pelepasan lesen berkenaan, pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi itu mungkin hanya boleh dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (GE16).

Katanya, kerajaan negeri sudah melunaskan sebahagian besar syarat yang ditetapkan di peringkat persekutuan melalui Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), iaitu sebanyak enam daripada lapan syarat utama.

​Beliau menjelaskan projek KXP menggunakan model pembangunan infrastruktur baharu yang mana pelabur dan industri swasta bersedia menanggung sepenuhnya kos pembinaan tanpa menggunakan dana kerajaan.

​”Pelabur sudah sedia untuk melabur, tetapi mereka terpaksa menunggu proses kelulusan. Halangan tunggal ketika ini hanyalah proses NASP di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) serta TUDM,” katanya.

Sanusi menegaskan tiada garis masa pasti dapat diberikan selagi lesen terbabit tidak diluluskan.

​”Jika proses itu lambat, kita terpaksa menunggu. Saya berharap selepas pilihan raya umum 16, jika mereka masih tiada di situ …benda kelulusan itu jadi (lulus),” katanya dalam sidang media Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026, hari ini.

​Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Prof Dr Haim Hilman menjelaskan infrastruktur seperti Lapangan Terbang Kargo KXP adalah strategik penting menghubungkan pusat industri dengan pintu masuk maritim dan penerbangan.

Katanya, cadangan KXP dirancang sebagai pintu masuk utama bagi produk eksport bernilai tinggi, terutamanya sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).

​”KXP bakal menyokong ekosistem penerbangan dan logistik terintegrasi, sekali gus membuka peluang baharu dalam pengangkutan kargo udara, penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian (MRO), serta penyediaan pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

​ Beliau berkata, pembinaan KXP disenaraikan seiring dengan cadangan jalan raya dua lorong Timur-Barat yang menghubungkan Kulim Hi-Tech Park ke Pelabuhan Tok Bali (Kelantan), menerusi Kulim, Baling, Gerik, Jeli dan Pasir Puteh.

​Langkah ini bagi memperkukuh rangkaian antara keupayaan pembuatan di Pantai Barat dengan peluang ekonomi di Pantai Timur, sekali gus menyokong pergerakan kargo yang lebih pantas dan selamat di bawah kerjasama empat negeri (SG4).

​ Dengan ketersediaan pelabur dan kejelasan visi strategik ini, kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan kelulusan lesen yang diperlukan bagi memacu pertumbuhan ekonomi serantau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top