EURO: Martinez bimbang keadaan Hazard

EURO: Martinez bimbang keadaan Hazard

SEVILLA: Pengurus Belgium, Roberto Martinez mengakui ‘bimbang’ dengan Eden Hazard kerana ‘dia tidak gembira’ dengan krisis kecederaan yang membelenggunya di Real Madrid.

Kapten Belgium itu mengharungi musim sukar di Sepanyol selepas meninggalkan Chelsea dengan krisis kecederaan menyaksikan dia hanya membarisi kesebelasan utama dalam tujuh perlawanan.

Ini adalah kali pertama pemain lincah itu dihimpit masalah kecederaan yang berulang dan Martinez melihat perkara itu mengganggu Hazard.

“Saya akui saya bimbang kerana dia tidak menikmati hidupnya. Badannya tidak lagi memberi reaksi yang sama seperti sepanjang 15 tahun lalu. Kalau anda selalu tercedera, anda sudah biasa dengan tubuh yang mudah tercedera pada bila-bila masa tetapi bukan kepada Eden.

“Dia tidak mengalami kecederaan serius di Perancis. Dia hanya terlepas 20 perlawanan dalam lapan musim di Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dianggap antara liga paling fizikal di dunia.

“Apabila saya bertemu Eden pada Mac lalu, dia sangat sedih dan tertekan. Saya rasakan dia sudah mula bekerja untuk kembali gembira dan dengan masa ini, kami sangat bertuah.”

Ketika ditanya sama ada Hazard sudah gembira, Martinez menjawab ‘buat pertama kalinya saya lihat Eden gembira pada aksi menentang Finland dan menikmati bola sepaknya selepas sekian lama’.

“Apabila dia gembira, kami menjadi pasukan yang lebih baik. Kali terakhir dia bermain selama 90 minit bersama pasukan ini adalah November 2019. Jadi bayangkan berapa lama kami sudah menunggunya?”.

– AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top