Penyanyi rap Colombia pijak bendera Israel, laung slogan sokong Palestin

Penyanyi rap Colombia pijak bendera Israel, laung slogan sokong Palestin

BOGOTA – Penyanyi rap Colombia, Chelo Hop mencetuskan perhatian ramai selepas memijak bendera Israel sambil melaungkan slogan menyokong kebebasan Palestin ketika membuat persembahan di festival Hip Hop al Parque.

Menurut laporan media Ahad, aksi itu berlaku pada penghujung persembahannya di festival berkenaan yang berlangsung di Colombia.

Chelo Hop turut melaungkan ‘Palestina Libre’ yang bermaksud ‘Bebaskan Palestin’ dan ungkapan ‘Afuera lo que no pertenece’ yang membawa maksud ‘usir pihak yang tidak sepatutnya berada di sini’.

Tindakan penyanyi itu dilaporkan sebagai simbolik sokongan terhadap perjuangan penduduk Palestin untuk memperoleh kebebasan.

Ketika festival itu, Chelo Hop turut mempersembahkan lagu terbaharunya berjudul Anatomía yang diterbitkan oleh Astrallbass.

Rakaman yang memaparkan tindakan tegasnya itu dikongsikan secara meluas di media sosial, sekali gus menarik perhatian warganet terhadap mesej solidariti yang disampaikannya menerusi persembahan tersebut. – Agensi

Scroll to Top