PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengakui berdepan isu konsisten yang menjadi punca kepada turun, naik prestasi mereka dalam setiap kejohanan yang disertai.
Kai Wun berkata, disebabkan masalah tersebut, dia dan pasangannya, Wei Chong sering hadir dalam setiap kejohanan tanpa memikirkan terlalu jauh kaki mereka mampu melangkah.
“Satu perkara mengenai kami, oleh kerana konsisten kami tidak begitu bagus, kami hanya fokus perlawanan demi perlawanan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kemudian saya akan beritahu pasangan saya, kita beri yang terbaik sehingga ke hujung permainan dan kami berjaya melakukannya, hari ini,” katanya selepas final Terbuka Perancis berakhir, semalam.
Pasangan No. 11 dunia itu mengejutkan rakan senegara yang juga merupakan beregu No. 5 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani 13-21, 21-15, 21-7 dalam masa 44 minit.
Mengulas mengenai kerjasamanya dengan Wei Chong yang bertaut kembali, Kai Wun memberitahu, mereka berdua telah bergandingan selama lebih lima tahun dan berharap dapat meneruskan rentak kemenangan yang dicatat di Paris.
Sementara itu, Wei Chong turut senada dengan Kai Wun apabila berkata, kehadiran mereka pada Terbuka Perancis, tanpa memikirkan menang atau kalah dan lebih selesa hadir selaku ‘underdog’.
“Kami hanya mahu memberikan yang terbaik dan cuba memenangi setiap mata. Sebagai pemain Malaysia, saya gembira kami berjaya mencatat sejarah di Perancis,” katanya mengenai kemarau gelaran beregu lelaki selama 22 tahun berakhir selepas menjuarai Terbuka Perancis.
Jelas anak kelahiran Melaka itu, oleh disebabkan isu kecederaan lututnya baru sahaja sembuh, mereka juga tidak meletakkan sebarang sasaran dan bermain baik tanpa tekanan. – UTUSAN



