am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor mengambil beberapa tindakan bagi menangani aduan gangguan monyet liar di kawasan perumahan, termasuk memasang sangkar di kawasan terjejas.
Timbalan Pengarah PERHILITAN Johor, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, tindakan diambil berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai.
“Operasi menangkap haiwan liar itu dijalankan secara berterusan sebelum haiwan dilepaskan di kawasan yang sesuai.
“Berhubung aduan serangan haiwan liar, kami ada menerima maklumat mengenainya, namun kes seumpama itu hanya berlaku secara terpencil,” katanya ketika dihubungi bagi mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai keluhan penduduk yang tertekan akibat gangguan monyet liar.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, selain PERHILITAN orang ramai juga boleh membuat aduan berkaitan gangguan monyet liar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kami menasihati orang ramai supaya tidak memberi makanan kepada haiwan liar. Selain itu, sampah perlu diuruskan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penjagaan Alam Sekitar Bumi Hijau Negeri Johor, P Siva Kumar berkata, langkah bersesuaian perlu diambil bagi menangani masalah gangguan monyet liar.
Beliau berkata, haiwan wajar dipindahkan ke lokasi yang sesuai bagi membolehkannya mendapatkan sumber makanan dan jauh daripada penempatan penduduk.
“Langkah yang diambil seharusnya memenuhi piawaian pengurusan hidupan liar antarabangsa dan bukannya sekadar menyelesaikan masalah untuk tempoh tertentu atau dalam jangka pendek,” katanya.
Sementara itu, Pakar Rujuk Kelestarian dan Alam Sekitar Malaysia, Profesor Dr Mohd Fadhil Md Din berkata, kepupusan monyet bukan sekadar menyebabkan kehilangan satu spesies haiwan, malah berpotensi menjejaskan fungsi penting yang menyokong kelangsungan hutan tropika.
Beliau berkata, monyet bantu menyebarkan biji benih, lekalkan kepelbagaian tumbuhan dan sumbang kepada jaringan makanan semula jadi.
Menurutnya, kepentingan memelihara populasi monyet dalam ekosistem hutan perlu dibezakan daripada keperluan mengawal gangguan kera di kawasan perumahan kerana kedua-duanya bukan matlamat yang bercanggah.
“Bagi Johor, penyelesaian jangka panjang tidak boleh bergantung semata-mata kepada usaha menangkap atau menghapuskan populasi monyet.
“Perancangan guna tanah, pemeliharaan koridor ekologi, pengurusan sampah dan pendidikan masyarakat perlu menjadi sebahagian daripada pendekatan bersepadu.
“Kita tidak mahu hutan kehilangan fungsi ekologinya, tetapi kita juga tidak mahu penduduk kehilangan rasa selamat di kawasan kediaman,” katanya yang memaklumkan kelestarian sebenar menuntut keseimbangan antara keselamatan manusia, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan yang bertanggungjawab.
Beliau juga menekankan prinsip mengurus konflik dan bukannya menghapuskan spesies seperti pendekatan One Health dan One Conservation yang membolehkan kesejahteraan manusia, kesihatan haiwan dan integriti ekosistem dinilai secara bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




