Harry Kane dinobat pemain terbaik Ballon d’Or 2026

Harry Kane dinobat pemain terbaik Ballon d’Or 2026

PENYERANG Bayern Munich dan kapten skuad England, Harry Kane, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or lelaki 2026 selepas mengharungi musim cemerlang bersama kelab dan pasukan kebangsaan England.

Pemain berusia 33 tahun itu mengetepikan saingan hebat daripada kapten Perancis, Kylian Mbappé, serta sensasi muda Sepanyol, Lamine Yamal, untuk merangkul anugerah paling berprestij dalam dunia bola sepak itu pada majlis yang berlangsung di London, Isnin malam.

Kejayaan tersebut hadir selepas Kane mempamerkan ketajaman luar biasa sepanjang musim 2025/26 apabila meledak keseluruhan 73 gol dalam semua pertandingan bersama Bayern Munich dan England.

Daripada jumlah itu, 61 gol dijaringkan bersama Bayern dalam semua kejohanan, termasuk 36 gol dalam 31 penampilan Bundesliga, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang paling berbahaya di Eropah.

Kane turut menerima anugerah Penyerang Terbaik Tahun Ini selepas muncul penjaring terbanyak dalam kalangan pemain lelaki sepanjang kempen berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Yamal sekali lagi terlepas anugerah utama selepas menduduki tempat kedua pada edisi terdahulu. Bagaimanapun, pemain Barcelona itu tetap mencipta pencapaian tersendiri apabila memenangi Trofi Kopa buat kali ketiga berturut-turut, anugerah yang diberikan kepada pemain terbaik bawah usia 21 tahun.

Alexia Putellas dan Harry Kane mencium trofi masing-masing di atas pentas selepas menerima anugerah Ballon d'Or sebagai pemain bola sepak wanita dan lelaki terbaik, semasa majlis anugerah Ballon d'Or France Football 2026 di Palladium Theatre, London pada 26 Oktober 2026. - Foto: AFP

Alexia Putellas dan Harry Kane mencium trofi masing-masing di atas pentas selepas menerima anugerah Ballon d’Or sebagai pemain bola sepak wanita dan lelaki terbaik, semasa majlis anugerah Ballon d’Or France Football 2026 di Palladium Theatre, London pada 26 Oktober 2026. – Foto: AFP

Sementara itu, kategori wanita menyaksikan pemain tengah Sepanyol, Alexia Putellas, dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or Féminin, sekali gus kembali ke puncak selepas kali terakhir memenangi anugerah tersebut pada 2022.

Putellas, yang pernah memenangi anugerah berkenaan pada 2021 dan 2022, kembali menyerlah selepas berdepan tempoh sukar akibat kecederaan ACL (anterior cruciate ligament) yang menjejaskan kariernya.

Kemenangan itu turut mengukuhkan dominasi bola sepak wanita Sepanyol di pentas antarabangsa, meskipun persaingan tahun ini menyaksikan beberapa calon lain turut mencuri perhatian.

Bagi Kane, pengiktirafan Ballon d’Or 2026 menjadi kemuncak kepada musim yang cukup istimewa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok penyerang terbaik generasinya. – Awani

Scroll to Top