TAIZ – Kekurangan bahan api menyebabkan sebuah hospital bersalin dan kanak-kanak di bandar ini yang terletak di Yaman terpaksa mengurangkan jumlah inkubator daripada 40 kepada 10, sekali gus mengancam nyawa bayi baru lahir yang memerlukan rawatan kritikal.
Menurut laporan Reuters, keadaan itu berlaku ketika pertempuran berlarutan menyekat laluan bekalan penting, termasuk bahan api, oksigen, ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke bandar berkenaan.
Jururawat unit neonatal Hospital Bersalin dan Kanak-kanak Yemeni-Swedish, Nada Ahmed berkata, kekurangan bekalan menyebabkan pihak hospital berdepan kesukaran memastikan bayi terus mendapat rawatan yang diperlukan.
“Tiada oksigen, tiada bahan api untuk menghidupkan inkubator bagi memastikan bayi kekal panas,” katanya.
Penyelia unit neonatal hospital itu, Nawal Najeeb pula memberi amaran bahawa operasi fasiliti berkenaan boleh terhenti sepenuhnya sekiranya bekalan bahan api tidak tiba dalam masa terdekat.
“Jika kepungan berterusan, ia akan menjadi malapetaka kepada bayi, malapetaka yang membawa kepada kematian dan kecacatan,” jelas beliau..
Kekurangan bahan api bukan sahaja menjejaskan inkubator, malah mengancam keupayaan hospital menyediakan perkhidmatan kesihatan asas kepada pesakit yang memerlukan rawatan segera.
Taiz dilaporkan hampir terputus hubungan dengan kawasan lain sejak 3 Oktober lalu susulan peningkatan pertempuran antara pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran.
Pertempuran itu menghalang kemasukan bekalan kemanusiaan dan menyukarkan pergerakan orang awam keluar dari bandar berkenaan.
Menurut jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Christian Lindmeier, sebanyak 42 fasiliti kesihatan di Taiz melaporkan kekurangan kritikal bahan api, oksigen, ubat-ubatan dan bekalan perubatan.
Kekurangan itu turut meningkatkan kos mendapatkan rawatan apabila harga bahan api melonjak kepada 2,000 rial Yaman seliter, menurut seorang pemandu, Abdullah al-Radfani kepada Reuters.
Kenaikan harga tersebut turut membebankan pesakit yang perlu berulang-alik ke pusat rawatan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Pengurus dasar, advokasi dan media Oxfam Yemen, Fatma Jaffar Shotah berkata, seorang pesakit dialisis terpaksa menghabiskan dua malam di pusat rawatan berbanding pulang ke rumah antara sesi rawatan kerana kos perjalanan meningkat daripada kira-kira AS$0.50 (RM0.50 sen) kepada AS$10 (RM40.86).
“Kekurangan bahan api di dalam bandar memberi kesan buruk terhadap kehidupan penduduk,” katanya.



